Lagu Perang Musuh Bisik


"Bumi yang kita pijak ini adalah tanah tumpah darah kita... telah sentiasa kekal sebagai Tanah Air yang tercinta... Ada pun mereka-mereka itu telah mengorbankan diri demi mempertahankannya agar anak cucu Bani Jawi terus kekal di sini... Moga-moga kita adalah waris sebenar mereka-mereka itu... para Hulubalang Bani Jawi"
NOTA : Hasrat blog dihasilkan bertujuan untuk mencari maklumat mengenai para hulubalang Melayu dan dihimpunkan di satu halaman supaya mudah dirujuk oleh anak bangsa. Halaman ini dibina sejak pada tahun 2009. Terima kasih pada mereka yang tidak jemu-jemu menulis mengenai para Hulubalang Bani Jawi yang turut dipetik dan dikongsikan di sini.

Tunku Muhammad Saad

Tunku Muhammad Saad merupakan Panglima Perang Negeri Kedah dalam peperangan Musuh Bisik pada gelombang di tahun 1838. Kisah ini kami petik dari tulisan Almarhum Datuk Ismail Salleh untuk tatapan para pembaca.


PERTEMPURAN DI PULAU BIDAN


Dalam bulan Julai 1838 bersamaan bulan Muharram 1244 Tunku Muhammad Saad telah melancarkan angkatan perangnya dari Kuala Merbuk untuk mara ke Terang dan mengusir Siam dari bumi Kedah buat selama-lamanya dari utara hingga ke selatan.


Tunku Muhamad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin dan pernah menjadi tawanan Siam di Legor. Cuping telinganya masih berkerutut seperti kulit limau purut kesan dicucuk dengan rotan sega.


Tunku Muhamad Saad dibantu oleh Tunku Muhamad Akib, seorang lagi anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin telah merancangkan segala-galanya dengan penuh teliti. Mereka telah berjaya mengumpulkan orang-orang Melayu yang berdiri tegap dibelakang perjuangan ini dan telah melantik Tunku Abdullah, putera sulung Sultan Ahmad Tajuddin menjadi kepala jemaah panglima-panglima perang.

Satu angkatan laut yang berdisiplin diwujudkan di bawah Aamirul Bahr atau laksamananya iaitu Datuk Muhamad Ali bin Datuk Kerma Jaya dari Langkawi. Beliau diberi gelaran sebagai Datuk Setia Segera.


Datuk Muhamad Ali telah diutus oleh Tunku Muhamad Saad ke Batu Bara di Acheh untuk beberapa lama bagi melengkapkan sebuah angkatan laut yang besar dengan beratus-ratus buah perahu besar dan perahu panjang.


Di bawah kelolaan Datuk Muhamad Ali Setia Segera diletakkan dua buah ketumbuk yang dipanggil “Sayap Kanan” dan “Sayap Kiri”. “Sayap Kanan” diketuai oleh Nakhoda Lanang Pati. Bahagian belakang yang dipanggil “Ketumbuk Ekor” mengandungi perahu yang besar sekali terdiri dari pelbagai jenis perahu dan kenaikan air orang Melayu dikawal oleh Datuk Muhamad Ali sendiri. Datuk Muhamad Ali dibantu oleh Panglima Muhamad Taib Hitam menyusun angkatan perang yang akan bertindak dari belakang. 


Angkatan laut Tunku Muhamad Saad bermalam di Pulau Empat Beradik iaitu di Pulau Telor, Pulau Songsong, Pulau Bidan dan Pulau Bunting. Sedang mereka nyenyak tidur, angkatan yang berteduh di Pulau Songsong dan Pulau Bunting telah diserang oleh sebuah angkatan laut kecil dari pihak Siam.


Seorang panglima yang perkasa berasal dari Selibis bernama Panglima Yu mengepalai angkatan Siam itu telah bertemu dengan Datuk Muhamad Ali Setia Segara di Pantai Pulau Songsong dan mereka telah beradu kekuatan dan kesaktian masing-masing dengan menggunakan tipu muslihat ilmu peperangan, ilmu sihir dan sebagainya.


Seorang lagi hulubalang Siam bernama Panglima Barim, seorang Melayu asalnya bernama Ibrahim yang gagah berani tetapi tersasul menyebelahi pihak Siam. Panglima Barim amat handal melontar lembing batang pendek dari perahunya tepat menemui sasaran iaitu di tengah-tengah belakang perwira-perwira Melayu yang berada 50 ela darinya.


Ramai pejuang-pejuang Melayu yang sedang berehat pada malam itu telah menemui ajal di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting. Kejadian ini berlaku tidak jauh dari kampung halaman yang mereka tinggalkan di Penaga dan di Kerian. 


Dalam pertarungan sengit di antara Panglima Yu dengan Datuk Muhamad Ali, senjata-senjata yang terdapat di badan habis digunakan oleh mereka berdua sehingga akhirnya Panglima Yu terpaksa menggunakan kayu-kayu kapal sahaja untuk memukul Datuk Muhamad Ali. Datuk Muhamad Ali tergelincir dan jatuh ke dalam air tetapi cepat-cepat ia naik semula ke dalam perahunya dan mencapai sebatang lembing panjang lalu menikam paha Panglima Yu. Lembing sesat di tangan Datuk Muhamad Ali itu telah menembusi daging lembut di paha Panglima Yu. Panglima Yu dengan cepat meminta anak buahnya melarikan diri naik ke tanah besar di Kuala Sala. 


Angkatan Tunku Muhamad Saad turut mengejar tetapi tidak sempat hendak menangkap Panglima Yu kerana Panglima itu mengarahkan orang-orangnya berkayuh habis-habisan di malam yang kelam itu. Menurut cerita, angkatannya telah sampai di Bukit Pinang. Apabila hari telah siang, angkatan Tunku Muhamad Saad mengepung Bukit Pinang dan berjaya menangkap Panglima Yu serta orang-orangnya, kemudian membawa balik mereka ke Pulau Songsong ke Tunku Muhamad Saad.


Panglima Barim terbunuh lebih awal lagi dari Panglima Yu dan kubur mereka berdua masih ada di Pinggang Pulau Songsong, disusun bersama-sama dengan perajurit-perajurit lain yang menjadi mangsa mereka kerana semuanya Islam.


SIAM TEWAS, KEDAH MARA KE SENGGORA


Dari pengalaman di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting, Tunku Muhamad Saad telah mengkaji semula kedudukan angkatan perangnya. Akhirnya Tunku Muhamad Saad mendapat persetujuan dari Datuk Muhamad Ali Datuk Setia Segera, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain panglima kanan supaya angkatan perang kali ini dibahagi kepada empat pasukan.


Detik dan ketika melancarkan serangan ditetapkan oleh pahlawan yang tua-tua. Serangan tersebut kebetulan sama dengan Temasya Tambun di Bangkok semasa Maharaja Siam membakar jasad seorang Maharaninya. Pada masa ini semua gabenor-gabenor wilayah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan berkumpul di Bangkok menghormati Maharani yang akan di hantar ke akhirat. ketika itulah Tunku Muhamad Saad sampai di Haad Yai dan Datuk Muhamad Ali sampai di Puket.


Angkatan perang Kedah menuju ke Utara dari tiga hala serentak dan telah berjaya melumpuhkan pertahanan Siam di mana-mana mereka pergi. Negeri Petani telah jatuh ke tangan orang-orang Melayu semula. Terang dan Pulau Phuket telah diduduki oleh Datuk Muhamad Ali dan beliau mara ke Timur membantu Tunku Muhamad Saad yang telah menawan Haad Yai dan sedang bergerak ke Utara menduduki Senggora dan Boyang.


Kuala Kedah dengan senangnya diambil oleh kumpulan keempat dan perjuangan yang agak serius hanya berlaku di Alor Ganu selama beberapa ketika. Phya Buri Seknutun yang bertahan di Alor Ganu telah berundur ke Petalung dengan beberapa orang tenteranya. Negeri Kedah telah bebas semula dan Kota Kuala Kedah telah diduduki oleh orang-orang Melayu. Penghulu Kota dilantik dengan serta merta iaitu Syed Hussein.


Angkatan perang yang berjalan kaki ini mendarat di Kuala Perlis dan Kuala Sanglang kemudian menuju ke Bukit Kayu Hitam dan terus ke Haad Yai. Dari sini mereka mara hingga ke Senggora dan Petani. Angkatan laut Melayu yang dikumpulkan oleh Tunku Muhamad Saad belum ada bandingannya di dalam sejarah Nusantara dan Datuk Muhamad Ali ialah seorang Laksamana yang teragung belum pernah diriwayatkan orang sepenuhnya.


SIAM MENEWASKAN TUNKU MUHAMAD SAAD


Pada masa Tunku Muhamad Saad menyerang Siam di Kedah dan membebaskan negeri itu dari cengkaman mereka, Gabenor Legor dan Gabenor Senggora berada di Bangkok menghadiri upacara pembakaran jasad Bonda Rani ibu kepada Maharaja Rama III. Apabila mereka diberitahu orang-orang Melayu telah menduduki semula negeri Kedah dan negeri-negeri Melayu di Selatan telah turut dibebaskan, mereka memohon bantuan dari Bangkok dan dari wilayah mereka sendiri seperti Legor, Senggora, Petalong dan juga dari Kelantan dan Petani.


Gabenor Legor menghantar utusannya menemui Inggeris di Singapura dan dua-dua pihak telah bersetuju akan saling bantu-membantu. Inggeris bersetuju mengepung Kedah dari laut pada bulan Disember ketika angin ribut Timur Laut bertiup. Pada bulan tersebut, Siam akan menyerang dari darat dengan 80,000 orang tenteranya.


Angkatan Tunku Muhamad Saad yang sedang menduduki Senggora di serang dari belakang oleh satu angkatan tentera Legor yang lebih besar. Orang-orang Melayu yang ditawan kononnya diikat kemudian dilecek oleh gajah hingga menjadi “sambal”. 


Sekurang-kurangnya kita mengetahui Panglima Busu dan Raja Usoh dari Setol selamat sampai di Selatan Kedah dan membuka kampung halaman di sana. Lebih kurang tiga bulan lamanya mereka menderita dan mengalami pelbagai kesedihan di dalam perjalanan. Tangisan kanak-kanak yang menyusu di dada ibunya yang terbaring tidak bernyawa, ibu dan ayah meratapi anak yang terpaksa dikuburkan di dalam hutan dan si isteri meratapkan suami yang telah terbujur menjadi mayat.


Pemimpin-pemimpin Melayu di Senggora berundur ke Kota Bharu dan akhir-akhirnya telah berjaya melepaskan diri ke Seberang Perai. Perjuangan dari tahap ini telah lumpuh dan mereka mengharapkan angkatan lain dari Setol, Perlis dan Langkawi menyelamatkan Negeri Kedah.


Angkatan Legor telah mara ke selatan melalui Padang Besar dan Padang Kecil terus masuk ke kawasan Perlis, dan Kedah setelah menduduki Trang dan Setol. Di Padang Kecil yang sekarang dikenali sebagai Haad Yai, satu pertempuran besar telah berlaku dan mengakibatkan ramai tentera Melayu dan tentera Siam menjadi korban. Di antara yang syahid di sini ialah Shaikh Samad Palembang.


PERJUANGAN AKHIR MEMPERTAHANKAN KOTA KUALA KEDAH


Kisah perjuangan Tunku Muhamad Saad mempertahankan Kota Kuala Kedah dalam bulan Mac 1839 merupakan perjuangan orang-orang Kedah yang paling akhir menentang Siam secara besar-besaran. 


Pada 17 Mac, orang-orang Melayu bertahan dari atas kota-kota tanah di sebelah matahari naik dan kaki tidur Kota tetapi tepaksa berundur ke dalam Kota pula kerana menjadi sasaran yang senang kepada tentera-tentera Legor yang berselindung di sebalik hutan api-api dan pokok-pokok jeruju di situ. Kota batu mempunyai meriam-meriam yang handal dan itulah sahaja yang masih menjadi harapan.


Tunku Muhamad Saad mengambil tindakan memilih 200 orang laki-laki mempertahankan Kota bersama dengan 15 orang Sepahi upahan dan meminta yang lainnya dengan wanita dan kanak-kanak turun ke perahu dan belayar berpandukan Bintang Pari menuju ke Pulau Pinang. Kumpulan inilah yang terakhir sekali meninggalkan Kuala Kedah ke Pulau Pinang dengan jalan laut dalam episod peperangan Kedah dengan Siam selama ini.


Selepas azan Subuh 13 Mac, Siam menyerang semula. Orang-orang Siam tidak dapat menembusi tembok kota kerana meriam mereka kecil. Sebelum tengahari orang-orang Melayu dapat mengusir angkatan Siam yang jauh lebih besar itu dan membawa kasualti yang jauh lebih banyak dari yang dialami oleh orang-orang dalam Kota.


Pada hari yang ketiga angkatan Siam menyerang lagi! Kampung-kampung di sekitar kota dibakar rentung dan bau asap serta bedil menggantikan bau-bau bunga macang dan bunga keriang lada yang memecah dalam bulan Mac ini. Bedil membedil tidak reda sehingga ke larut malam. 


Seorang Panglima Melayu bernama Tuk Menara diarah oleh Tunku Muhamad Saad membakar tunam di meriam “Katak Puru” yang terletak dirusuk pintu besar menghadapi matahari naik. Enam orang lain diarah membantu Tuk Menara menuangkan penggalak. Meriam-meriam lain dikawal oleh Sepahi-sepahi dan panglima-panglima lain. 


Beberapa buah kapal perang Inggeris menghujankan peluru meriam ke arah Kota Kuala Kedah kerana membantu Siam menawan kota itu. Peluru-peluru meriam inilah yang menyebabkan orang Melayu berduyun-duyun berundur keluar dari Kuala Kedah. Sebuah kapal perang Inggeris menaikkan bendera Siam di kapalnya membedil orang-orang Melayu yang sedang berundur. Kebanyakan yang menjadi korban ialah wanita dan kanak-kanak. Inggeris memusnahkan perahu-perahu orang Melayu dan membunuh orang-orang yang tidak berdosa kepada mereka kerana hendak menggembirakan hati Siam.


Tuk Menara bertujuh terus membedil tentera Siam sebagai memberi peluang Tunku Muhamad Saad melepaskan diri. Akhirnya mereka turut meninggalkan “Katak Puru” dan terjun ke dalam sungai menyeberang ke Seberang Nyonya di tebing sebelah sana. Sepahi-sepahi Rajput menembak tidak berhenti-henti selama dua jam lagi sebelum mereka sendiri terjun ke air menurut jejak Tuk Menara. Jasad 15 sepahi dijumpai tersadai di batang-batang nibung yang dipacak oleh kapal “Hyacinth” menggalang pintu kuala kerana mereka tidak pandai berenang.


Tunku Muhamad Saad memerintah Kota Kuala Kedah selama tiga puluh tiga Jumaat, satu Raya Puasa, satu Raya Haji dan menyambut Hijrah 1255 di dalam rimba.


TUNKU MUHAMAD SAAD DI BUANG BOMBAI

Tunku Muhammad Saad sekarang menjadi orang buruan, dan apabila Inggeris mengisytiharkan terang-terangan bahawa Tunku Muhammad Saad itu seorang lanun, bukan pejuang merebut kebebasan tanahair, maka bertambah ramai pula orang yang ingin berbudi membantu Inggeris memburu “Tunku Muhammad Saad Lanun”.


Selepas meninggalkan Kota Kuala Kedah, Tunku Muhammad Saad dengan orang-orangnya beredar ke Langkawi meninjau kemungkinan membuat serangan balas. Inggeris bertindak menghantar kapal-kapal perangnya memantau perairan Langkawi dan memburu gerombolan Tunku Muhammad Saad. Tentera Laut Inggeris telah menembak hancur tempat-tempat perteduhan orang-orang Tunku Muhammad Saad dan Tunku Muhammad Saad terpaksa meninggalkan Pulau Langkawi di tengah malam menuju ke negeri Perak. 


Inggeris mengetahui Tunku Muhammad Saad berada di Perak lalu menghubungi Sultan Perak supaya mengusir Tunku Muhammad Saad keluar dari wilayah pemerintahannya. Pada awal bulan Julai 1840, Tunku Muhammad Saad dengan rakan-rakannya Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Senawi dengan dua tiga puluh orang pengikutnya diarahkan oleh Sultan Perak supaya meninggalkan wilayah Perak kerana baginda tidak mahu bermusuhan dengan Inggeris atau dengan Siam.


Tunku Muhammad Saad berangkat meninggalkan Perak dan seelok-elok angkatan Tunku Muhamad Saad di Kuala Sungai Perak, kapal-kapal perang Inggeris yang lengkap dengan meriam dan senapang sedang menanti. Tetapi pemerintah angkatan perang Inggeris yang datang dari Pulau Pinang itu bersumpah di atas nama Kerajaan British bahawa Tunku Muhammad Saad akan dilindungi dan diselamatkan dari ancaman sebarang musuh dan Tunku Muhammad Saad di anggap sebagai sahabat kepada Kerajaan British.


Seelok-elok mereka sampai di Pulau Pinang, Tunku Muhammad Saad disambut supaya mendarat dan diiringi oleh beberapa seldadu menjemputnya terus ke Pejabat Pelabuhan. Di pejabat itu beliau diberkas, digari dan terus disembunyi ke dalam sebuah bilik gelap di Kota Konwalis. Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Senawi dan pengikut-pengikut dikurung berasingan.


Perbicaraan diadakan pada 26 Oktober 1840 iaitu selepas 116 hari Tunku Muhammad Saad dan pengikut-pengikutnya ditahan dalam kurungan. Satu kes rompakan di laut telah diketengahkan sebagai bukti Tunku Muhammad Saad dan rakan-rakannya ialah lanun. Inggeris berjaya membawa saksi-saksi dan sebagainya ke Mahkamah pada hari itu dan Tunku Muhammad Saad dengan pengikut-pengikutnya yang hadir di Mahkamah pada hari itu dituduh bersalah. Kononnya Tunku Muhammad Saad dengan rakan-rakannya telah merampas sebuah perahu Melayu bernilai 150 ringgit di Laut Kedah.


Pada 2 November iaitu selepas seminggu perbicaraan dilangsungkan, Hakim Besar Pulau Pinang menjatuhkan hukumannya iaitu menahankan Tunku Muhammad Saad sebagai seorang tawanan perang di sebuah tempat tahanan yang berasingan dari penjenayah. Pengikut-pengikut Tunku Muhammad Saad seperti Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Senawi dan lain-lain dibebaskan.


Tunku Muhammad Saad ditahan di Kota Konwalis beberapa hari sebelum dibawa ke India menjalani hukuman yang dipanggil oleh orang-orang Melayu sebagai “Buang Bombai”. Di India Tunku Muhammad Saad tidak dibawa ke Bombay tetapi dikurung di sebuah tempat tahanan di Kalkatta. Untuk merahsiakan tempat tahanannya, dia dipindahkan pula ke Mursyidabad. Selepas tiga tahun iaitu pada bulan November, 1843, Tunku Muhammad Saad dibebaskan pulang ke tanahairnya. Dia pulang ke kampungnya di Bagan Tiang, Seberang Perai, Pulau Pinang.


Akhirkata :

1. Kisah ini dipetik dari beberapa karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.


2. Terdapat kajian khusus salasilah keturunan Tunku Muhammad Saad ini oleh seorang sahabat penulis iaitu Mahadhir Mat Lazim. Pembaca boleh rujuk di link :

http://tunkuabdullah.blogspot.com/2018/09/konvensyen-penulisan-jawi-dan-rumi.html

Penulis yang mencatat






Panglima Gajah Tunggal - Dato Setia RAJA Tok Jebek bin Tok Akil

Menurut Pondok Berhala Gantang (Temerloh – Pahang), Tok Jebek dilahirkan pada tahun 1842, dan diceritakan enam tahun lebih muda daripada Sultan Ahmad Al- Muadzam Shah. Tokoh ini lahir di Kampung Bohor, Bera (sekarang tempat ini dikenali sebagai Rancangan Perpindahan Selepas Banjir (RPSB) Bohor Baru, Daerah Bera). Beliau dibesarkan dalam budaya desa di bawah bimbingan keluarganya. Ketika berusia 10 tahun, beliau telah diasuh oleh bapanya Tok Akil yang juga seorang Imam Perang, serta datuknya Abdul Jabar seorang pemimpin yang disegani di Wilayah Bohor ketika itu. Semasa kecil lagi, Tok Jebek diajar mengaji Quran serta didikan agama oleh bapanya sendiri. Seawal usia sepuluh tahun juga Tok Jebek telah dilatih mempelajari pencak silat, tarian perang, dan bermain senjata seperti keris, lembing dan pedang. Selain itu, Tok Jebek juga diajar tentang ilmu hutan dan sungai, dan mahir dalam ilmu perburuan, menahan jerat dan menggetah burung, mengambil manisan lebah, menuba ikan, serta membuat segala jenis alat menangkap ikan, termasuk terubing, lukah, tuar, dan jala.

Tok Jebek tidak ketinggalan mendalami ilmu agama di Kg. Berhala Gantang (Balik Gantang) dan Bangau. Di Bohor, pembelajaran mengenai agama Islam terus berkembang walaupun tidak ada institusi pondok didirikan. Program pengajian Quran diadakan pada malam hari di rumah-rumah tertentu. Begitu juga dengan Fardhu A’in, menulis dan membaca jawi. Selain membaca Quran, penduduk setempat juga membaca syair Siti Zabaidah, Dandan Setia dan Syair Asyiqin karangan Tok Shabuddin Zainal Abidin (Pengasas Pengajian Pondok Berhala gantang, 1650-1770M). Dalam konteks peribadi, Tok Jebek menguasai ilmu persilatan, arif berburu, pandai bermain sepak raga, pandai bersyair, dikir rebana, dan bergendang. Kesenian Islam ini dipelajari Tok Jebek dari ayahanda dan datuknya.

Pada zaman Tok Jebek dikatakan terdapat tujuh buah masjid di Bohor. Jumlah penduduk di wilayah ini agak ramai. Sungai dan hutan merupakan sumber rezeki penduduk. Namun begitu, “bersawah padi” merupakan kegiatan utama penduduk di samping mengusahakan dusun buah-buahan. Di sini juga, ramai orang arif tentang perubatan tradisi yang menggunakan akar kayu serta sumber hutan. Kebergantungan kepada pawang, bomoh dan bidan sangat kuat. Wilayah ini turut menjadi kawasan logistik Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah dalam banyak hal seperti mendapatkan sumber makanan, hasil-hasil hutan maupun ubat-ubatan. Ketika Perang Saudara (1857-1863M) misalnya, Wilayah Bohor menjadi tumpuan untuk mengubat orang-orang yang cedera dalam peperangan. Tasik Bera menjadi ikon kepada penduduk. Nama Tok Jebek begitu masyhur di Bohor (Bera). Di samping karismanya sebagai elit tradisional, warisan Tok Jebek seperti keturunannya, riwayatnya, dan peninggalannya menjadi kebanggaan penduduk sejak zaman berzaman.

Dalam tahun 1885, ketika berada di Pahang F.A. Swettenham (Aruna Gopinath, 1993: 51) mencatatkan bahawa Orang Besar Berlapan Pahang ialah (1) Toh Muda Tunggal, (2) Toh Jabe, (3) Toh Bangau, (4)Toh Omar, (5) Toh Penggawa, (6) Toh Lela, (7) Orang Kaya Lipis, dan (8) Orang Kaya Jelai. Nama Tok Jebek ditulis sebagai Tok Jabe. Nama penuh jawatan itu tidak disebut, yakni Dato’ Setia Raja Tok Jebek. Tok Jebek dianugerahkan gelaran Tok Muda (Orang Besar Enam Belas Pahang) pada tahun 1866 mengenangkan jasa anak muda 24 tahun ini yang turut menyertai angkatan perang Wan Ahmad dalam Perang Saudara (1857-1863).

Sewaktu dianugerahkan gelaran Dato’ Setia Raja (1880M) oleh Bendahara Sewa Raja (BSR) Wan Ahmad ibni BSR Tun Ali, Tok Jebek menerima perkara-perkara berikut : (1) Gelaran : Dato’ Setia Raja, (2) Gelaran Panglima Gajah Tunggal, (3) Satu persalinan Baju Melayu, (4) Sehelai Kain Tengkolok (batik), (5) Bengkong (tali pinggang songket), (6) Sebuah Pending Perak, (7) Sebilah Keris Panjang, (8) Sebuah Cop Kuasa, dan (9)Bendera Pembesar. Peninggalan yang masih ada dalam simpanan ialah bendera, bengkung dan kain tengkolok (destar).

Bendera Tok Jebek mengandungi konsep pentadbiran dan falsafah pemerintahan beliau di Wilayah Bohor seperti terjemahan berikut : Warna Bendera - Hijau: mengutamakan Islam, mesra alam, luas saujana pandangan mata; luas akal fikiran, bijak bicara dan saksama. Hijau merujuk kehijauan alam semulajadi sebagai nadi kehidupan masyarakat ; Grafik Bunga Melor Warna Putih : Bunga Melor harum mewangi membawa makna kemasyuran nama Tok Jebek dan nama Sultan, serta negerinya; Warna Putih: Warna Putih lambang kesetiaan kepada Raja Pemerintah; Bunga Melor Empat Kelopak : menunjukkan kawasan pentadbiran dan wilayah Tok Jebek, iaitu Timur, Barat, Utara dan Selatan. Namun dalam hal ini, Tok Jebek menggunakan perkataan Arab untuk Timur dan Barat –“Mushrik” dan “Maghrib”, manakala bagi Utara dan Selatan Tok Jebek menggunakan perkataan Sanskrit – “Paksina” dan “Daksina” di samping merujuk pentadbiran Tok Jebek mengikut sifat wajib bagi nabi, iaitu Sidek, Amanah, Tabligh dan Fatonah.Kelopak Bunga Melor juga melambangkan ilmu persilatan Tok Jebek, iaitu langkah, bunga buah dan tangkas. Falsafah Silat Tok Jebek : mati langkah kerana bunga; mati bunga kerana buah; mati buah kerana tanhgkas.

Keistimewaan Tok Jebek ialah mempunyai hubungan langsung Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah, dan bebas memasuki Istana Raja. Segala pandangan Tok Jebek mudah diterima oleh Sultan. Tok Jebek juga mempunyai hubungan erat dengan semua Orang Besar Negeri Pahang, terutama Dato’ Orang Kaya Indera Maharaja Perba Jelai (Engku) Wan Muhammad bin Dato’ Wan Idris (OKIMPJ Ke-6), Dato’ Orang Kaya Indera Pahlawan Chenor, Dato’ Orang Kaya Indera Segara Temerloh, Imam Indera Gajah dan puteranya, Pahlawan Mat Kilau. Tok Jebek tidak terkecuali mempunyai hubungan yang baik dengan warga Istana.Tok Jebek juga pernah mempunyai hubungan urusniaga dengan Habib Hassan yang mengusahakan “Lombong Emas” di Pahang, dan Abdullah Hukum (1835-1943) yang berurusan jual beli kerbau. Ketika itu, di Semantan dan Bentong tempat mereka berniaga, seekor kerbau berharga $10.00 hingga $20.00 sahaja. Tok Jebek juga mempunyai hubungan rapat dengan Yap Ah Loy di Kuala Lumpur, dan Orang Asli.

Dato’ Setia Raja ini dikatakan sentiasa bersama tuannya di mana-jua berada. Menurut penduduk Kg. Bohor, Tok Jebek sentiasa berulang-ulang dari Bohor ke Pekan menggunakan perahu kajangnya dengan pengiring atau pengikut-pengikutnya dari Bohor sambil “bergendang hilir, bergendang mudik.” Di mana bermalam dia akan singgah berdikir rebana dan bermarhaban. Tok Jebek turut serta dalam Perang Kelang 1868-1873 semasa berusia 20 tahun. Beliau juga turut serta dalam Perang Saudara (1857-1863) di Pahang. Dalam tahun 1862, Tok Jebek mengiringi Sultan Ahmad ke Kelantan. Pada 13 Julai 1897, Tok Jebek mengiringi Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah ke Durbar Pertama di Kuala Kangsar Perak.

Dipercayai juga Tok Jebek ke Kelantan semasa pertemuan pegawai-pegawai kerajaan Siam yang diketuai oleh Luang Visudh dengan Pahlawan Pahang yang diketuai oleh Teh Ibrahim dan Mat Lela di Kota Bharu. Pada waktu itu, pahlawan Pahang diam di Besut. Pertemuan ini diadakan di rumah Pak Kub (Yaakub) pada waktu malam. Mereka yang hadir pada waktu itu ialah Dato’ Setia Raja, Tok Imam Haji Abdullah, Sahak Mandari, Tok Kuing Aur Gading dan Mamat atau Pak Alu.

Semasa Tok Jebek menjadi Orang Besar Bohor, masyarakat Bohor memiliki beberapa keistimewaan. Antara lain yang dapat disebut : Ramai orang Melayu Bohor bergelar “Lebai Kampung”; Pandai membuat perahu kajang yang cantik dan tahan; Ampuh dengan ilmu hutan dan sungai; Ramai yang mempelajari Seni Silat; Pandai bergendang; Ramai yang berkebolehan berdikir rebana, marhaban dan berzanji serta kesenian-kesenian yang lain; Ramai yang menjadi pawang, dukun dan bidan; dan Pandai bermain sepak raga bulatan. Keistimewaan penduduk Kg. Bohor ini sentiasa dipersembahkan oleh Tok Jebek kepada Sultan Ahmad Al-Muadzam Shah dalam majlis-majlis keramaian yang diadakan di Istana Raja, malah baginda amat berbangga dengan kebijaksanaan anak buah Tok Jebek.

Dalam tahun 1924, Tok Jebek dikatakan telah meninggal dunia. Sewaktu jenazah Tok Jebek siap disempurnakan untuk dibawa ke perkuburan, dua orang Pawang Bohor, iaitu Pawang Maulud dan Pawang Merah telah mendekati jenazah. Pawang Maulud dan Pawang Merah masing-masing menggunakan ilmu untuk melihat keadaan sebenar Tok Jebek. Salah seorang daripada mereka berkata, “Cuba kita tengok Jebek ni bersama dengan kita atau tidak.” Masing-masing makan sireh dan meludah air pinang di tapak tangan melihat waktu ketika itu. Pawang Merah berkata dalam renungannya Tok Jebek telah mati dan tidak bersama-sama mereka lagi. Meskipu begitu, Pawang Maulud melihat Tok Jebek masih hidup, dan akan bersama-sama dengan mereka.

Tidak lama kemudian Tok Jebek bangun duduk berlunjur. Melihat keadaan ini, semua yang ada ketika itu lari lintang-pukang terjun tidak bertangga kerana takut. Hanya beberapa adik beradik dan saudara- mara yang rapat tidak lari sebaliknya bertanya, “Siapa kamu ni. Syaitan atau Jebek. Kalau Jebek mengucaplah.” Sejurus kemudian, Tok Jebek pun mengucap dua kalimah syahadat, lalu meminta air untuk minum. Tok Jebek minum bercawan-cawan air, tetapi kemudainnya dilarang oleh Pawang Maulud. Tok Jebek bercerita semasa tidak sedarkan diri, dia berjalan di satu padang yang sangat luas dalam keadaan keletihan dan kehausan. Tiba di tepi padang, terdapat sebatang balak yang sangat besar. Sewaktu akan melangkah balak tersebut dia mendengar satu suara. "Bukan Jebek ini yang kita jemput. Jebek lain. Hantar dia balik.” Dalam pada itu Tok Jebek tersedar dan melihat orang ramai di halaman rumahnya. Demikianlah, satu peristiwa yang agak aneh berlaku ke atas Orang Besar Bohor ini.

Pada tahun 1924 sebelum banjir besar berlaku, Tok Jebek mengambil keputusan untuk ke Mekah menunaikan Fardhu Haji. Kemudian, beliau beberapa ketika tinggal di Mekah kerana ingin mendalami pengajian agama Islam. Sesudah itu, Tok Jebek kembali ke Bohor, dan berkhidmat di bawah Sultan Abdullah sehinggalah beliau menerima gelaran Panglima Gajah Tunggal, Dato’ Setia Raja, Tok Jebek bin Tok Akil. Selain di Wilayah Bohor (Bera – Pahang), waris Tok Jebek juga ada di Negeri Sembilan, dan beberapa buah negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu. Makam ayahandanya, Tok Akil, dan makam nendanya, Tok Abdul Jabar terdapat di Makam Kuala Bohor (di Kuala Sungai Bohor berhampiran denga tebing Sungai Pahang).Makam-makam ini mudah dikenali kerana nesannya yang berbeza dengan nesan-nesan yang lain. Makam Tok Abdul Jabar yang dikenali juga dengan nama Makam Tok Karai. Di sebelah hilir makan tersebut terdapat sebuah kampung yang dinamakan Karai.

Bissirril Al-Fatihah

 

*Segala maklumat ini ditulis/dicatit sendiri oleh waris Tok Jebek iaitu Dato Aripin Bin Said.

Nota : Petikan sepenuhnya dengan izin dari FB Tengku Daeng Mawelle



Perang Musuh Bisik


Kisah ini benar-benar berlaku pada tahun 1821. Perjuangan para hubalang kita mempertahankan bumi yang tercinta ini.

Lagu & Vocal : Muhammad Isney
Senikata lagu : ponpakya
Lagu Ciptaan : 2010


Tunku Kudin


Tunku Kudin sebenarnya ialah Syed Zainal Abidin merupakan anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin.
Tunku Kudin ialah anak kepada seorang Arab berbangsa saiyid dari Palembang yang bertalian darah dengan keluarga di Raja Kedah. Tunku Kudin, tinggal di Seberang Perai telah dipujuk supaya memimpin satu angkatan perang menentang angkatan Thai semasa perang Musuh Bisik yang telah meletus sejak 1821.
Orang-orang Thai yang menguasai di Kota Kuala Muda mengetahui sifat-sifat kepimpinan yang ada pada Tunku Kudin telah mengupah beberapa orang jahat untuk membunuh beliau. Penduduk-penduduk yang tinggal di keliling rumahnya telah berjaya mengusir orang-orang upahan Thai ini dan menyelamatkan Tunku Kudin.
Pada suatu malam, sebiji letupan telah berjaya dipasang oleh orang-orang upahan Thai dirumahnya dan telah meletup dengan kuat ketika manusia sedang tidur nyenyak jam tiga pagi. Tunku Kudin telah dijilat api dan melecur sebelah tubuhnya. Azam Tunku Kudin menentang kekejaman Thai bertambah kuat apabila beliau sedar bahawa isteri beliau dan tiga orang anak-anaknya meninggal dunia akibat letupan tersebut.
Tunku Kudin telah kehilangan semua yang disayanginya, isteri dan anak-anak, rumah dan harta benda. Yang bertambah kuat ialah sumpah dan azam menuntut bela.
Orang-orang Melayu di Seberang Perai berkumpul memberi sokongan kepada Tunku Kudin untuk melepaskan kampong halaman di Kedah dari cengkaman Thai. Jumlah orang-orang Melayu yang tegak di belakang Tunku Kudin tidak kurang dari 5000 orang. Pada waktu dan ketika yang baik lagi sempurna, perahu-perahu kecil dan besar, beratus-ratus buah banyaknya, lengkap dengan tetunggul dan panji-panji, telah bergerak ke Kuala Kedah. Di sepanjang jalan, angkatan tersebut diturut-sertai pula oleh perahu-perahu dari Kuala Muda, Kuala Merbok, Kuala Yan, Kuala Sala dan Kuala Tebengau. Selepas berihat di Pulau Bunting, angkatan Tunku Kudin terus belayar ke Kuala Kedah dan disana ditemui pula oleh perahu-perahu dari Pulau Langkawi yang turut menghantar bantuan.
Angkatan Thai yang bersedia di luar Kota telah membedil perahu-perahu Melayu yang mendarat dan dibedil balas oleh angkatan laut Melayu. Pengawal-pengawal Kota mencuba seberapa daya menghalang kemaraan orang-orang Melayu yang ramai mendaki tembok Kota, tetapi dengan kebijaksanaan dan kecekalan hati Tunku Kudin, pertahanan Thai di Kota Kuala Kedah telah patah. Setelah beratus jiwa terkorban dari kedua belah pihak, orang Melayu dapat memasuki Kota itu melalui Pintu Kacapuri, pintu kecil lima puluh ela arah ke Utara pintu sekarang. Tunku Kudin berjaya menduduki Kota Kuala Kedah pada 24 haribulan April 1831.
Orang-orang Thai telah berundur ke Alor Ganu 15 batu dari Kuala Kedah mengikut Sungai Besar. Di Alor Ganu terdapat sebuah kota tanah yang dibuat oleh orang-orang Melayu kini dijadikan markas tentera Thai. Di Alor Ganu orang-orang Thai bertahan, sementara satu angkatan darat telah dihantar ke Legor menyusul bantuan.
Kejayaan Tunku Kudin menawan kembali Kota Kuala Kedah rupanya menjadi satu kegemparan besar kepada Inggeris di Pulau Pinang. Kononnya, mengikut satu perjanjian antara Inggeris dengan Bangkok yang dibuat dalam tahun 1826 bersamaan dengan Tahun Anjing dalam perkiraan tahun bangsa Thai, Inggeris hendaklah melarang dan menegah Sultan Kedah atau rakyatnya dari menyerang mengganggu atau merusak secara mana sekalipun ke atas Negeri Kedah yang telah menjadi Wilayah Thai.
Sebagai membuktikan kepada kerajaan Thai bahawa Inggeris adalah satu bangsa yang tidak pernah memungkiri janji dan rampasan kuasa oleh Tunku Kudin itu di luar pengetahuan mereka, maka Kerajaan Pulau Pinang telah menghantarkan senjata-senjata dan ubat bedil ke Alor Ganu.
Angkatan Thai menerima bantuan Inggeris dengan dua belah tangan dan mendesak Inggeris supaya menepati kehendak-kehendak Perjanjian Tahun Anjing itu dengan betul. Sebagai memperaktikkan tafsiran yang difahamkan oleh Inggeris dari Perjanjian itu, Inggeris mulalah mengenakan kepongan-kepongan dan kawalan di kuala-kuala sungai dan di sepanjang pantai Kedah supaya orang-orang dari laut tidak dapat berhubung menyampaikan bantuan dan sebagainya yang bercanggah dengan kepentingan Thai. Bantuan yang mulanya mencurah-curah tiba kepada Tunku Kudin di Kuala Kedah telah terhenti dengan tiba-tiba.
Dalam satu pertarungan sengit antara angkatan laut Kedah dengan angkatan laut bangsa Thai di Pulau Payar bertentangan dengan Kuala Kedah, angkatan Thai telah tewas dengan teruk. Kapal “Wolfe” milik Inggeris telah tiba entah dari mana lantas merejamkan peluru-pelurunya ke atas perahu orang-orang Melayu dan memusnahkan sehingga licin seluruh angkatan Melayu yang ada. Tindakan yang dilakukan oleh “Wolfe”- “Anjing Hutan” ini, adalah satu-satunya peristiwa yang unik di mana orang-orang Melayu telah diajar begitu rupa oleh kapal laut Inggeris.
Sebelum ini, perahu-perahu Melayu telah dikejar dan ditahan supaya jangan mendarat walaupun kerana mengambil makanan dan air, kemudian diusir supaya pulang sahaja. Kali ini “Wolfe” bertindak kasar dan amat menyedihkan pula bila ditilik bahawa perahu-perahu bangsa Thai sentiasa dibenarkan masuk atau keluar dengan bebas di mana-mana sahaja mengangkut ubat-ubat bedil dan sebagainya untuk menyerang perahu-perahu Melayu. Hampir seribu orang-orang Melayu yang dibedil ke dasar laut oleh kapal “Wolfe” berkelampong ke hulu ke hilir berminggu-minggu di laut Kedah selepas peristiwa itu.
Kemusnahan angkatan laut Melayu di Pulau Payar ini melumpuhkan Tunku Kudin yang bertahan didalam Kota.
Angkatan Melayu yang di ketuai oleh Tunku Sulaiman di Kuala Perai bersiap dengan kira-kira tiga ribu orang untuk belayar ke Kuala Kedah membantu Tunku Kudin. Angkatan Tunku Sulaiman telah ditahan dan di arah dengan sombongnya supaya balik ke Kuala Perai oleh 4 buah kompeni dari Madras Native Infantry yang ke Empat Puluh Enam berpengkalan di Pulau Pinang.
Kota Kuala Kedah telah dikepong dari darat dan dari laut, makanan dan ubat bedil telah kehabusan, penyokong-penyokong juga ramai yang mendapat sakit dan ramai pula yang telah terkorban dalam perjuangan menegakkan bendera merah harimau melompat, iaitu bendera Kedah pada zaman itu. Bendera merah dengan gambar gajah puteh telah dibantu oleh bendera “Union Jack”.
Kota Kuala Kedah dibedil siang malam tidak berhenti-henti sehingga kemungkinan untuk bertahan lebih lama menjadi mustahil. Ramai orang-orang Melayu yang pulang ke Pulau Pinang, dan Seberang Perai, diiringi oleh kapal-kapal “Wolfe” dan “Crocodile” dari belakang.
Kumpulan yang paling akhir sekali bersama Tunku Kudin tinggal Cuma 30 orang lagi. Mereka ini telah berjuang beberapa hari menangkis serangan-serangan tentera Thai semata-mata hanya dengan keberanian dan kegigihan yang luar biasa timbul dari keinginan mensyahidkan diri demi keluhuran kota pesaka dan watan seluruhnya. Nasi gerit dan manisan tebu yang menjadi ayapan orang berperang, telah habis dan ubat bedil juga telah berkurangan. Meriam-meriam seperti “Katak Puru” dan “Badak Berendam” serta berpuluh-puluh pucuk lagi meriam lain di Kota itu kononnya telah ada yang berdentum dengan sendirinya sebab tidak cukup kakitangan yang boleh mengawasi.
Tetapi, seperti kata pantun yang diabadikan sehingga sekarang:-
Pulau Sembilan tinggal delapan,
Satu merajuk ke Kuala Kedah;
Sudah nasib perminta badan,
Kita di bawah kehendak Allah
Maka pada 4 haribulan Oktober, 1831; bantuan Thai dari Legor telah tiba di Kuala Kedah: 7000 tentera dan 300 ekor gajah, menyerang Kota usang itu dari empat-empat penahapnya. Tunku Kudin dengan tiga puluh pahlawannya berjuang habis-habisan sehingga Tunku kudin sendiri telah luka parah di dada dan di pahanya, ubat bedil sudah habis pula.
Tunku Kudin terjatuh, tangannya terkapai-kapai memanggil seorang panglima yang paling karib supaya menghampirinya. Nama panglima itu tidak diketahui lagi, mereka berpelok-pelok dan kedengaran mengucap dua kalimah syahadah. Kemudian Tunku Kudin menghunus keris pendeknya lantas menikam panglima itu dan panglima itu pula menikam beliau, masing-masing mengelupur sehingga sejuk dan kaku: Seorang di kiri dan seorang di kanan. Kononnya begitulah persetiaan mereka berdua. Biar mati sama sendiri jangan mati dibunuh bangsa Thai.
Angkatan Thai menembusi pintu Kota dan membunuh pahlawan-pahlawan Melayu yang masih hidup. Mengikut “Singapore Chronicle”, mayat-mayat yang bergelimpangan di sekitar Kota Kuala Kedah yang menjadi medan pertemporan yang dahsyat itu adalah di antara enam ribu hingga sepuluh ribu orang. Yang paling banyak terbujur ialah ialah orang-orang Thai kerana angkatan perang mereka jauh lebih besar dari angkatan perang Melayu. Walaupun lapuran “Singapore Chronicle” tidak berapa tepat tetapi boleh dibuat kesimpulan bahawa kumpulan 30 yang terakhir dari angkatan Tunku Kudin bukanlah gerombolan sembarangan, cuma kerana “sudah nasib perminta badan”. Mungkin, kalau tidak disokong Inggeris, Thai tidak dapat lagi bertapak di Kedah, dan Kota Kuala Kedah pulang ketangan yang empunya nya. Tunku kudin menduduki Kota Kuala Kedah selama lima bulan dan lima belas hari.
Cerita Tunku Kudin tidak tamat begitu sahaja selepas beliau mati. Kepalanya dipanggal dan dibawa ke Legor dengan gajah. Tiba di sana, kepala itu diletakkan di atas talam tembaga yang berkaki, beralas dan berenda, kemudian ditatang oleh panglima perang bangsa Thai yang paling tua, sambil mengisut menyembahkannya kepada Raja Legor, Cau Phaya Nakon Si Tammarat. Beliau sangat ingin hendak menatap wajah pahlawan Melayu begitu handal dan gagah, sangat dikagumi oleh orang-orang Thai.
Raja Legor memandang dengan tidak terkelip matanya, terpesona juga dengan janggut jambang dan rambut menjejak tengkok di kepala yang tak berbadan itu – masih haibat dan menggerunkan. Kadar sejenak, Raja Legor bertanya “Mana badannya?”. Panglima Perang Thai menggelengkan kepalanya dan menyembah, “Tidak berguna Cau Phaya, hatinya sudah dimakan orang”.
Entah benar entah tidak, tetapi inilah riwayat kepala di atas talam yang satu-satunya pernah didengar di dunia ini, selain dari kepala “John the Baptist” yang dipersembahkan kepada King Herod Antipas oleh tukang-tukang kelarahnya lebih 2,000 tahun dahulu.
Akhirkata :
Kisah ini berdasarkan karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.
Penulis yang mencatat

Pahlawan Tok Moris

Pahlawan Tok Moris atau Bomoh Idris merupakan salah seorang hulubalang dari bumi Kedah yang diceritakan pernah pergi bersama rakan-rakannya ke Bangkok dalam masa perang Perang Bisik untuk menyelamatkan Sultan Ahmad Tajuddin II.

Sultan Ahmad Tajuddin II atau Almarhum Melaka ini telah diperdaya oleh tali barut musuh sehingga Tuanku ditangkap oleh angkatan Thai apabila pulang dari persembunyian dari Melaka. Tungku dipenjarakan di Bangkok dan pada masa itu tidak ada sesiapa yang berani pergi menyelamatkan Tuanku kerana takut dengan kehebatan angkatan Thai, tambahan lagi telah ramai angkatan Melayu telah ditangkap dan dipenggal kepala mereka serta dihimpunkan kepala-kepala itu semua di sebuah bukit di Bangkok.

Akhirnya, angkatan Tok Moris dengan hanya seramai 7 orang sahaja telah bergerak ke Bangkok serta membuat serangan hendap yang dasyat terhadap tentera Thai. Satu pertempuran yang sangat hebat dari segi keilmuan berlaku antara kedua-dua pihak. Dengan pakaian ilmu ‘sulam kalimah’ dari angkatan Tok Moris telah dapat menewaskan musuh dan berjaya memecahkan masuk penjara tentera Thai lalu Tuanku Sultan telah diselamatkan. Namun, kehebatan ilmu pahlawan Thai amat sukar dibunuh di bumi mereka sendiri maka pasukan Tok Moris mengheret para pahlawan Thai seramai 40 ke 50 orang ini dengan dicucuk rotan ke telinga tawanan kemudian diikat secara beramai-ramai dan dibawa pulang ke bumi Melayu (kampung Perupok). Di sana mereka ditahan beberapa hari sebelum dibunuh lalu kesemuanya di tanam di Kubur Panjang.

Anugerah Sultan:

Di atas jasa Tok Moris dan rakan-rakannya, mereka telah dianugerahkan Tanah Ampun Kurnia seluas seratus ribu relong. Tanah ini dikatakan luasnya bermula dari Kampung Patani di timur (arah dari Kubur Panjang) hingga ke Kampung Perupok di barat. Dari Mukim Lesong di utara hingga ke Sg Rambai di selatan.

Rakan-rakan Seperjuangan:

Ramai rakan-rakan Tok Moris telah turut serta berjuang bersama beliau dalam pertempuran sejak dari awal tahun 1817 sehinggalah membawa ke perang Musuh Bisik. Nama mereka-meraka ini adalah seperti Tok Imam Ha (Taha), Tok Git Nui (Taib Kecik), Tok Panglima Arshad, Tok Panglima Kecik, Tok Mo Syen, Tok Merah, Tok Kameh dan beberapa ramai lagi yang tidak dapat dipastikan nama atau gelaran mereka.

Senjata-senjata Tok Moris:

Senjata milik Tok Moris ada yang masih disimpan oleh waris pahlawan ini dan salah sorang cicit kepada beliau iaitu Haji Idris dikatakan masih menyimpan sebilah pedang yang berukuran lebih kurang 3 kaki panjangnya. Pedang ini yang boleh digulung menjadikan sebagai tali pinggang dan boleh menegak apabila digunakan sebagai senjata pentempuran. Selain itu masih terdapat dalam simpanan oleh warisnya sebilah keris pakaian Tok Moris.

PENEMUAN 1 :

Pahlawan Tok Moris ini merupakan keturunan dari Raja Ayutthaya iaitu Sharif Shah adik kepada Paduka Bonda (isteri pertama Tengku Muhammad Jiwa III). Sharif Shah dikatakan lari meninggalkan Ayutthaya ketika pihak Burma menyerang dan berhijrah bersama pengikutnya seramai angkatan baginda mengandungi 40 ekor gajah ke negeri Kedah dan membina kubu dan kota dan kemudian dikenali sebagai Kota Mengkuang.

Maklumat dan kisah Tok Moris ini telah diperolehi melalui rujukan di Arkid Negara dan sebahagiannya telah diceritakan oleh sejarahwan Kedah iaitu Almarhum Datuk Ismail Saleh pada tahun 2004 melalui sumber kajian dan temuramah beliau dengan keturunan tersebut. Dalam rombongan kami, sempat kami melawat kawasan tanah Ampun Kurnia dan Masjid Perupok di mana terdapat makam Tok Moris.

Akhirkata :

“Hulubalang Bumi Jawi seperti Tok Moris ini adalah amat penting bagi anak-anak Tanah Jawi. Dewasa ini terdapat beberapa blog sedang membincangkan kewujudan phulubalang sebenar yang mempertahankan Tanah Air, walaupun perbincangan di blog seperti ini masih terdapat pertikaian namun bak kata sejarawan “sejarah itu hidup”. Apapun kita sama-sama teruskan membongkar ketuanan Hulubalang kita dan InsyaAllah di satu hari yang terdekat ini, Hulubalang sebenar Bani Jawi akan menjadi sumber kekuatan semangat dan iktikad anak-anak di Tanah Jawi ini agar bersatu dan cekal mempertahankan yang haq”

Penulis yang mencatat

Panglima Awang

Orang Pertama Keliling Dunia

Pejuang Melayu buktikan bumi bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur

“MASYARAKAT kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapa Panglima Awang.”

“Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Beliau adalah bangsa pertama membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat,” kata penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar mengenai peristiwa besar bangsa Melayu itu yang kini mulai hilang dari lembaran sejarah negara ini.

Suasana hening di pejabatnya di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur seolah-olah menggambarkan kesayuan yang terdetik di jiwanya tatkala mengenangkan sejarah Panglima Awang. Ada nada kesal dalam intonasi suaranya ketika menceritakan mengenai pahlawan Melayu itu.

Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.

Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat.

“Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511,” sambung Dr Tuah seterusnya memulakan kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia, sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu sendiri.

Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.

Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.

Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda Melaka lain.

Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.

Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.

Pelayaran jauh yang memakan masa lama akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.

Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.

Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya.

Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.

Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.

Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol.

Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.

Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.

Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.

Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.

Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.

Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.

Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.

Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.

Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.

Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.

Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan.

Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.

Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.

Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.

Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.

Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur.

Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.

Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.

Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu.

“Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing,” kata Dr Tuah menamatkan kisah perjalanan wira Melayu yang tidak didendang itu.

FAKTA Panglima Awang

Asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih kekal misteri malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui.

‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Figafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu.

Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.

PROFIL

Nama sebenar: Tidak diketahui
Gelaran: Panglima Awang, Enrique, Henry The Black, Henrich, Ariberto, Espinosa.
Asal: Melaka (lahir sekitar zaman kejatuhan Melaka)
Bangsa: Melayu
Sumbangan: Manusia pertama mengelilingi dunia dan membuktikan Bumi adalah bulat.

Oleh Nasron Sira Rahim

dipetik sepenuhnya dari : http://hanzoushinrei.blog.friendster.com