"Bumi yang kita pijak ini adalah tanah tumpah darah kita... telah sentiasa kekal sebagai Tanah Air yang tercinta... Ada pun mereka-mereka itu telah mengorbankan diri demi mempertahankannya agar anak cucu Bani Jawi terus kekal di sini... Moga-moga kita adalah waris sebenar mereka-mereka itu... para Hulubalang Bani Jawi"

Panglima Awang

Orang Pertama Keliling Dunia

Pejuang Melayu buktikan bumi bulat selepas terbabit dalam pelayaran bersama Ferdinand de Magellan dari Barat ke Timur

“MASYARAKAT kita terlalu mengagungkan Barat; kita memandang hebat pelayar asing seperti Vasco de Gama, Christopher Columbus dan Ferdinand de Magellan sehingga melupakan sejarah siapa Panglima Awang.”

“Kita lupa Panglima Awang adalah manusia pertama mengelilingi dunia. Beliau adalah bangsa pertama membuktikan Bumi adalah bulat, bukannya Barat,” kata penulis yang juga pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar mengenai peristiwa besar bangsa Melayu itu yang kini mulai hilang dari lembaran sejarah negara ini.

Suasana hening di pejabatnya di Bandar Manjalara, Kuala Lumpur seolah-olah menggambarkan kesayuan yang terdetik di jiwanya tatkala mengenangkan sejarah Panglima Awang. Ada nada kesal dalam intonasi suaranya ketika menceritakan mengenai pahlawan Melayu itu.

Walaupun Panglima Awang pernah menobatkan martabat bangsa di persada dunia, anak-anak kecil hari ini sudah tidak mengenali jasa mahupun siapa lelaki itu.

Jasa Panglima Awang bukan kecil. Lelaki Melayu itu membuktikan tanggapan bahawa bumi leper adalah salah. Beliau sebaliknya membuktikan bumi itu bulat dan menghubungkan Timur dengan Barat.

“Sejarah besar itu bermula ketika Portugis berjaya menakluk Melaka pada 1511,” sambung Dr Tuah seterusnya memulakan kisah seorang pahlawan Melayu digelar Panglima Awang atau Enrique dalam menyumbang sesuatu kepada peradaban dunia, sebuah sejarah yang jarang diketahui ramai termasuk bangsa Melayu sendiri.

Tewas dalam usahanya menentang Portugis yang cuba menjajah tanah airnya iaitu Melaka, anak muda digelar Panglima Awang dan ratusan lelaki Melaka akhirnya ditawan dan disumbat ke dalam kapal besar milik bangsa Barat itu.

Rakan-rakan lain ramai yang terkorban ketika membela tanah watan, betapa gagah dan meluapnya semangat mengusir penjajah, akhirnya Panglima Awang dan rakan-rakannya tewas dengan kelengkapan senjata senapang dan meriam Portugis.

Dalam kesayuan mengenangkan hilangnya tanah air tercinta akibat dijajah, pemuda Melaka dirantai tangan dan kaki mereka serta dikurung di dalam kapal besar itu. Bagaimanapun Panglima Awang diasingkan kurungannya daripada pemuda Melaka lain.

Kehebatan dan keperkasaannya menyebabkan Wizurai Portugis, Alfonso de Albuquerque menetapkan bahawa Panglima Awang adalah tawanan peribadinya sekali gus hamba kepada dirinya seorang.

Selepas beberapa lama, sauh diangkat dan kapal itu mula belayar membelah lautan meninggalkan bumi Melaka menuju ke benua asing bersama tawanan dan hasil rampasan perang. Kapal itu singgah di Goa dan sebahagian tawanan dijual sebagai hamba di hentian itu. Seterusnya pelayaran diteruskan menuju Lisbon, ibu negara Portugal.

Pelayaran jauh yang memakan masa lama akhirnya merapatkan hubungan antara kapten kapal, Ferdinand de Maggellan dengan Panglima Awang. Betapa lelaki Portugis itu amat tertarik dengan perwatakan pemuda Melaka itu sehingga Panglima Awang diberi keistimewaan dengan dilepaskan dari kurungan manakala rantai di kaki dan tangannya dibuka. Panglima Awang diarah menjadi kuli di atas kapal sepanjang pelayaran dengan syarat pemuda itu tidak memberontak.

Ketika itu jugalah Ferdinand menukarkan nama Melayu Panglima Awang kepada ‘Enrique’, bagi mengelakkan wujudnya diskriminasi kaum dan agama antara masyarakat Portugis dan kelasi kapal lain dengan pemuda Melaka itu.

Setiba di Lisbon, Ferdinand memastikan Panglima Awang terus bersamanya. Persahabatan yang semakin erat menyebabkan kapten itu mengutuskan surat kepada Alfonso memohon lelaki Melayu itu ‘dijual’ kepadanya.

Keizinan diperoleh dan bermulalah hidup Panglima Awang di tanah asing yang jauh berbeza budaya dan bentuk muka bumi berbanding Melaka. Panglima Awang ditugaskan mengusahakan ladang epal di belakang rumah lelaki Portugis itu.

Peribadi mulia dan kegigihan ditunjukkan Panglima Awang semakin membuahkan kepercayaan dan rasa hormat di hati Ferdinand malah turut menarik hati adik lelaki asing itu iaitu Miriam. Hari yang terus berlalu mengeratkan hubungan hati antara dua bangsa itu malah Ferdinand turut merestui hubungan cinta berkenaan.

Sejarah mengelilingi dunia bermula apabila Ferdinand melarikan diri ke Sepanyol bersama Panglima Awang angkara fitnah pihak tertentu yang memusuhinya. Kehebatan, kemahiran dan pengalaman luas selaku pelayar menyebabkan Raja Portugal menghargai Ferdinand tetapi ia turut membenihkan hasad dengki di kalangan musuh yang akhirnya memfitnah kapten kapal itu.

Bagaimanapun, pelarian Ferdinand dan Panglima Awang ke Sepanyol diterima baik ketua negara itu, Raja Charles I, lantaran reputasi Ferdinand selaku pelayar hebat Portugal sememangnya dikenali dan dikagumi orang Sepanyol.

Di Sepanyol, kemahiran dan pengalaman luas Ferdinand selaku pelayar dimanfaatkan apabila Raja Charles I mengarahkan lelaki Portugis itu belayar mencari tanah dan harta kepada Kerajaan Sepanyol.

Beberapa tahun diperuntukkan untuk membuat persediaan sehingga beberapa kapal berjaya dibina untuk ekspedisi itu dengan kapal terbesar dinamakan ‘Victoria’.

Cadangan pelayaran Sepanyol itu akhirnya sampai ke pengetahuan pemimpin tertinggi Kristian seluruh dunia ketika itu iaitu Pope di Rom. Pope mensyaratkan jika Sepanyol ingin belayar, mereka tidak boleh lagi menghala ke Timur kerana ia sudah diperuntukkan kepada Portugis. Sebaliknya Sepanyol perlu belayar ke Barat.

Tindakan itu menimbulkan kekhuatiran di kalangan ramai kelasi kerana pelayaran ke Barat masih belum banyak diterokai. Akibatnya, tanpa kelasi, Ferdinand terpaksa mengambil banduan sebagai anak kapal dengan tawaran kebebasan dan kemewahan jika mereka mengikuti pelayaran itu. Selain Panglima Awang, seorang lagi orang kanan Ferdinand adalah Sebastian del Cano dan pencatat pelayaran, Pigafetta.

Pada 1519, kapal besar itu berangkat meninggalkan pelabuhan Seville menuju ke horizon Barat. Pelayaran itu amat sukar berikutan anak kapal tidak berpengalaman malah ada jatuh sakit dan mati. Ramai memberontak dan meminta berpatah balik.

Bagaimanapun penentangan dan konflik yang tidak kunjung padam sepanjang pelayaran sedikit terlerai apabila pelayaran menemui daratan di Barat, kapal itu sudah menjejaki benua baru di Amerika Selatan, setahun kemudian. Pelayaran itu turut menemui Selat Magallaes yang dinamakan sempena nama Ferdinand.

Tidak puas dengan penemuan dunia baru itu, Ferdinand ingin meneruskan pelayaran ke Barat sehingga konflik kembali tercetus di kalangan kelasi. Tanggapan bahawa bumi adalah leper menyebabkan mereka khuatir pelayaran terus ke Barat menyebabkan mereka terjatuh ke bawah dunia.

Walaupun menerima tentangan, Ferdinand meneruskan perjalanan dengan sokongan Panglima Awang. Pelayaran yang memasuki Lautan Pasifik kali itu semakin mencetuskan pelbagai masalah. Beberapa kapal hilang malah krisis bekalan makanan yang meruncing menyebabkan kelasi terpaksa memburu tikus dan lipas sebagai makanan.

Penderitaan di kelilingi lautan akhirnya berakhir apabila pada pertengahan 1521, tilikan Panglima Awang menerusi teropong terlihat sesuatu seperti pohon kelapa dari kejauhan. Berita itu disampaikan dan disambut gembira anak kapal bahawa penderitaan mereka berakhir. Mereka tiba di Pulau Mazzava, Cebu, Filipina.

Berlabuh di situ, Panglima Awang merasakan telahannya yang pelayaran berterusan mereka ke Barat sudah menemui dunia Timur adalah benar apabila mendapati pertuturan penduduk pulau itu menyamai Bahasa Melayu. Jauh di sudut hati, dirasakan negeri tanah tumpah darahnya iaitu Melaka semakin hampir.

Kepastian Panglima Awang dan Ferdinand mengenai bumi adalah bulat dan pelayaran mereka ke Barat sudah tembus ke Timur disampaikan kepada anak buah dan disambut gembira. Bagaimanapun satu kesilapan dilakukan.

Kegembiraan kelasi menyebabkan mereka melepaskan bedilan meriam kononnya sebagai keraian tetapi tindakan itu menyebabkan pemerintah Cebu, Raja Hamabun menyangka kehadiran kapal asing itu adalah untuk berperang dan mereka memulakan serangan.

Dalam pertempuran itu, Ferdinand dan ramai anak kapal terbunuh malah kapal Sepanyol itu dihancurkan sehingga tinggal sebuah kapal saja iaitu Victoria yang sempat meloloskan diri. Berikutan Panglima Awang berbangsa asing, Sabastian dipilih selaku kapten tetapi dia tidak memiliki semangat dan pengalaman luas menyebabkan tugas mengemudi pelayaran dilakukan mengikut arahan Panglima Awang.

Pandangan Panglima Awang bahawa mereka sudah hampir dengan Melaka ternyata benar apabila melintasi tanah Semenanjung. Tetapi disebabkan khuatir diserang Portugis yang menguasai Melaka lantaran Sepanyol adalah seteru Portugal, kapal itu tidak singgah di tanah kelahiran Panglima Awang.

Tambahan pula mereka sudah ‘melanggar’ perintah Pope dengan memasuki kawasan pelayaran orang Portugis menyebabkan mereka menukarkan bendera Sepanyol kepada bendera Portugis sebagai penyamaran dan meneruskan perjalanan pulang ke Sepanyol.

Pelayaran diteruskan dan berakhir apabila mereka tiba kembali di Sepanyol. Di hadapan Raja Charles I, mereka menghadap mempersembahkan cerita besar pelayaran mereka ke Barat sehingga pulang dari arah Timur.

Bagaimanapun raja itu kecewa kerana bukan bukti besar itu yang dimahukannya, raja itu kepingin harta dan tanah jajahan baru menerusi pelayaran itu.

Memandangkan Panglima Awang berbangsa asing, pengiktirafan sejarah itu diberikan kepada Ferdinand walaupun Panglima Awang adalah orang yang bertanggungjawab menyelesaikan ekspedisi mengelilingi bumi buat julung kalinya selepas Ferdinand gagal dan mati di Cebu.

Pengiktirafan itu turut menenggelamkan nama ‘Melayu’ selaku bangsa pertama yang mengelilingi bumi seterusnya jasa Panglima Awang turut tidak diketahui ramai termasuk bangsa Melayu.

“Mengikut catatan novel sejarah Harun Aminurrashid, Panglima Awang akhirnya kembali semula ke Melaka selepas bertahun berada di tanah asing,” kata Dr Tuah menamatkan kisah perjalanan wira Melayu yang tidak didendang itu.

FAKTA Panglima Awang

Asal usul Panglima Awang sebelum ditawan Portugis masih kekal misteri malah nama sebenarnya dalam Melayu masih tidak diketahui.

‘Panglima Awang’ hanyalah gelaran diberikan Harun Aminurrasid dalam catatannya mengenai sejarah lelaki itu. Selain ‘Panglima Awang’, tokoh pahlawan Melayu itu turut dikenali sebagai ‘Enrique’, ‘Henry The Black’, ‘Henrich’, ‘Ariberto’, ‘Espinosa’ dan pelbagai lagi mengikut sebutan sesuatu bangsa.

Walaupun nama Panglima Awang tidak tercatat dalam manuskrip sejarah Melayu, namanya tercatat dalam catatan sejarah pelbagai bangsa asing. Antaranya catatan Itali menyebutnya sebagai ‘seorang lelaki dari Melaka’ selain catatan Figafetta mengenai pelayaran itu sekali gus membuktikan kewujudan tokoh itu.

Bagaimanapun ada juga ahli Barat yang cuba menutup sejarah kejayaan bangsa Melayu dengan menafikan kewujudan Panglima Awang.

PROFIL

Nama sebenar: Tidak diketahui
Gelaran: Panglima Awang, Enrique, Henry The Black, Henrich, Ariberto, Espinosa.
Asal: Melaka (lahir sekitar zaman kejatuhan Melaka)
Bangsa: Melayu
Sumbangan: Manusia pertama mengelilingi dunia dan membuktikan Bumi adalah bulat.

Oleh Nasron Sira Rahim

dipetik sepenuhnya dari : http://hanzoushinrei.blog.friendster.com

Raja Haji

Raja Haji Pahlawan Teragung Nusantara

MASYARAKAT Melayu masih ramai belum mengetahui bahawa di Melaka ada beberapa orang tokoh dunia Melayu yang terkorban sebagai syuhada kerana membela kemuliaan Islam dan bangsa Melayu.

Mereka sanggup berkorban apa saja, termasuk harta dan nyawa, demi berjuang mengusir penjajah Portugis mahupun Belanda. Di antara sekian ramai yang gugur sebagai syuhada termasuklah seorang ‘ulama’ sufi dunia Melayu yang paling terkenal. Beliau bermakam di Melaka. Ulama yang dimaksudkan ialah Syeikh Syamsuddin as-Sumatra-i yang terkorban sebagai syuhada kerana berperang dengan Portugis.

Sejarah yang penting tentang tokoh besar yang syahid fisabilillah di Melaka juga ialah Raja Haji bin Upu Daeng Celak yang terkorban kerana melawan penjajah Belanda. Saya berpendapat bahawa Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat semacam Hang Tuah memandangkan daerah operasinya di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji inilah yang menjadi topik perbicaraan dalam artikel ini.

Daripada sebelah ayahnya, Raja Haji berasal daripada keturunan raja-raja di tanah Bugis, negeri Luwuk. Di sebelah ibunya pula berasal daripada keturunan raja-raja Melayu. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M.

Hubungan dengan ulama

Raja Haji walaupun bukan seorang ulama, namun dibicarakan juga dalam ruangan ini, disebabkan beberapa faktor. Pertama adalah kerana beliau sempat bergaul dengan beberapa orang ulama. Dipercayai beliau sempat berjumpa dengan Saiyid Husein al-Qadri di Mempawah, iaitu guru ayah saudaranya Upu Daeng Menambon. Putera Upu Daeng Menambon bernama Gusti Jamiril ini mendapat pendidikan Islam yang padu. Gusti Jamiril adalah saudara sepupu Raja Haji, kedua-duanya sempat bergaul. Dengan demikian tata cara pergaulan Islam, sekali gus amalan keilmuan saudara sepupunya itu, berpengaruh terhadap Raja Haji.

Dalam masa yang sama Raja Haji dan Gusti Jamiril sempat belajar kepada Syeikh Ali bin Faqih yang berasal dari Patani. Beliau ini ialah Mufti Mempawah yang kedua, menggantikan Saiyid Husein al-Qadri. Makam beliau disebut ‘Keramat Pokok Sena’ terletak di Perkuburan Kampung Pedalaman Mempawah. Hubungan Raja Haji dengan Saiyid Abdur Rahman bin Saiyid Husein al-Qadri, Sultan Pontianak yang pertama juga sangat dekat. Saiyid Abdur Rahman al-Qadri ialah suami Utin Cenderamidi bin Upu Daeng Menambon. Faktor kedua, daripada keturunan Raja Haji ramai yang menjadi ulama di antaranya Raja Ali Haji (cucu beliau) yang sangat terkenal itu. Keturunan beliau yang turut menjadi ulama ialah Raja Haji Umar bin Raja Hasan bin Raja Ali Haji dan lain-lain.

Gelaran yang disandang

Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997.

Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak.

Sewaktu Syarif ‘Abdur Rahman al-Qadri memerangi Sanggau, Raja Haji ialah sebagai Pahlawan Perang. Perang berlaku pada 26 Muharam 1192H/24 Februari 1778 M sehingga 11 Safar 1192H/11 Mac 1778 M. Raja Haji pula melantik Syarif Abdur Rahman al-Qadri sebagai sultan yang pertama Kerajaan Pontianak sekali gus Raja Haji menyusun kerangka pentadbiran kerajaan itu.

Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain. Jika kita bandingkan dengan semua pahlawan di Nusantara, seumpama Pangeran Diponegoro, Imam Bonjol, dan lain-lain, mereka hanya beroperasi di daratan saja dan tidak mengalami perang maritim. Jika kita bandingkan dengan Sultan Hasanuddin, beliau ialah seorang pahlawan maritim saja, tidak banyak pengalaman dalam peperangan di daratan. Kalau ada hanyalah sekitar Sulawesi Selatan.

Kalau kita banding dari segi yang lain pula, bukan bererti memperkecil-kecilkan pejuang yang lain, tetapi sejarah mencatatkan bahawa ramai pejuang ada yang menyerah kepada penjajah. Ada yang tertangkap kerana ditipu secara licik dan lain-lain. Semua yang tersebut berbeza dengan Raja Haji. Beliau lebih rela mati di medan juang daripada menyerah ataupun tertipu oleh pihak musuh. Pada 18 Jun 1784 M Raja Haji terbunuh sebagai syahid fisabilillah dalam peperangan melawan Belanda pimpinan Jacob Pieter van Braam di Melaka. Pasukan Melayu yang tewas bersama Raja Haji dianggarkan sekitar 500 orang. Sebagaimana pada mukadimah yang telah saya nyatakan, “... Raja Haji bin Upu Daeng Celak merupakan pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat sesudah Hang Tuah....”

Walau bagaimanapun, haruslah kita sedar bahawa kisah Hang Tuah lebih bercorak mitos. Berbeza dengan Raja Haji. Kisah beliau tercatat sebagai sejarah yang dibuktikan dengan data dan fakta yang tidak dapat ditolak. Oleh itu jika ditinjau dari segi sejarah bererti ‘Raja Haji pahlawan dunia Melayu yang terbesar dan terhebat, bukan Hang Tuah.’

Kejadian aneh

Raja Ali Haji dalam Tuhfat an-Nafis meriwayatkan kejadian aneh terhadap jenazah Raja Haji setelah mangkat dalam keadaan syahid fisabilillah seperti berikut, “Syahdan adalah aku dapat khabar daripada itu daripada orang tua-tua yang mutawatir, adalah sebelum lagi ditanamnya mayat Yang Dipertuan Muda Raja Haji, al-Marhum itu, maka ditaruhnya di dalam peti hendak dibawanya ke Betawi, sudah sedia kapal akan membawa jenazah al-Marhum itu. Maka menantikan keesokan harinya sahaja, maka pada malam itu keluar memancar ke atas seperti api daripada peti jenazah al-Marhum Raja Haji itu. Maka gaduhlah orang Melaka itu melihatkan hal yang demikian itu. Di dalam tengah bergaduh itu kapal yang akan membawa jenazah al-Marhum itu pun meletup, terbakar, terbang ke udara segala isinya serta orang-orangnya. Seorang pun tiada yang lepas.

“Syahdan kata qaul yang mutawatir, tiadalah jadi dibawa jenazah al-Marhum itu pindah ke negeri yang lain. Maka ditanamkan jua di Melaka itu, hingga datang diambil dari negeri Riau adanya. Dan kata setengah qaul yang mutawatir sebab itulah digelar oleh Holanda yang dahulu-dahulu dengan nama Raja Api adanya....” (Tuhfat an-Nafis, Naskhah Terengganu, hlm. 151)

Pada pandangan saya riwayat di atas mencerminkan kemuliaan seseorang yang wafat dalam syahid fisabilillah kerana berjuang untuk kepentingan agama Islam atau memperjuangkan bangsanya, iaitu bangsa Melayu yang dicintainya. Perjuangan demikian mencerminkan kerana patuh kepada perintah Allah dan Rasul-Nya. Oleh itu tulisan Abdullah Munsyi dalam buku Hikayat Abdullah yang mengatakan bahawa mayat Raja Haji ditanam tempat kandang babi perlu dipertikaikan dan dibahas secara ilmiah. Tulisan Abdullah Munsyi selengkapnya sebagai berikut, “Sebermula di balik kebun kompeni itulah ditanamkan Raja Haji. Iaitu seorang Raja Melayu yang berkuasa adanya. Asalnya iaitu keturunan Bugis. Maka isterinya bernama Ratu Emas. Maka ialah yang telah datang memerangi Melaka pada zaman Holanda – maka adalah daripada zaman itu sampai masa ini (maksudnya hingga masa Abdullah Munsyi menulis hikayatnya, pen:) kira-kira lebih sedikit daripada 60 tahun – maka hampir-hampir dapat Melaka olehnya. Maka berkeliling jajahan Melaka dan kampung-kampung semuanya sudah didapatnya melainkan tinggallah Melaka bulat-bulat sahaja yang belum didapatnya. Maka pada masa itu segala bangsa yang ada di dalam Melaka masuk perang melawan Holanda daripada Melayu, Keling, Cina, Serani masing-masing ada dengan kapitannya dan kepala perangnya. Maka adalah beberapa tahun diperanginya lalu matilah Raja Haji itu dimakan peluru di Tanjung Palas nama tempatnya. Kemudian diambil Holanda mayatnya itu ditanamkan di balik kebun yang tersebut itu. Ada pun khabarnya yang kudengar, tempat itu kandang babi. Kemudian ada kira-kira 20, 30 tahun di belakang datanglah anak buah-anak buah Raja Haji itu dari Lingga dan Riau ke Melaka meminta izin kepada raja Inggeris hendak dipindahkannya kubur itu ke Riau. Maka diberikanlah izin. Lalu dibawanyalah pergi....” (Hikayat Abdullah, hlm. 57 - 58)

Riwayat Abdullah Munsyi tentang Raja Haji ditanam di kandang babi adalah sukar diterima disebabkan: Pertama, jauh berbeza dengan yang ditulis oleh Raja Ali Haji seperti tersebut di atas. Kedua, orang yang wafat keadaannya syahid fisabilillah adalah dimuliakan oleh Allah s.w.t.. Dalam al-Quran disebutkan bahawa “orang-orang yang mati syahid adalah tidak mati, dalam kubur mereka diberi rezeki.” Dalam hadis Nabi s.a.w. pula sangat banyak menyebutkan kelebihan orang yang mati syahid. Pandangan saya ini bukan bererti menuduh Abdullah Munsyi telah melakukan pembohongan dalam tulisannya, kerana beliau sendiri menyebut pada awal kalimatnya, “Ada pun khabarnya yang kudengar”. Oleh itu pelbagai andaian boleh dibuat. Yang pertama, boleh jadi khabar yang didengar itu sengaja diproses oleh pembohong-pembohong daripada kalangan penguasa penjajah ketika itu untuk menghapuskan kebangkitan jihad orang-orang Melayu Islam yang tidak suka negerinya dijajah oleh golongan yang bukan Islam. Kedua, kemungkinan tekanan kuasa penjajah memaksa supaya Abdullah Munsyi menulis sedemikian. Oleh itu kita perlu berfikir dan teliti setiap kalimat dan perkataan yang ditulisnya.

Selain itu jika kita berfikir secara kritis dan membuat analisis secara bebas, khusus pada konteks di atas, memang banyak kalimat ataupun perkataan demi perkataan Abdullah Munsyi mengandung unsur-unsur politik yang menguntungkan pihak penjajah pada zamannya. Sebagai contoh, walaupun Abdullah Munsyi mengakui bahawa Raja Haji adalah seorang Raja Melayu, namun pada sambungan kalimat Abdullah Munsyi menyebut pula bahawa asal Raja Haji adalah keturunan Bugis. Kenapa Abdullah Munsyi tidak menyebut Raja Haji dari sebelah ibunya adalah keturunan Melayu. Di sini dapat diduga, jika disebut Raja Haji orang Melayu semangat orang Melayu untuk berpihak kepada Raja Haji sukar dipadamkan.

Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Sheikh Abdus Shamad

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani Wafat Sebagai Syuhada

LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah. SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.

Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.

Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.

Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.

Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.

Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.

Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).

Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.

Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.

Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah.

Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.

Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.

Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.

Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.

Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.

Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.

Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan.

Pulang ke nusantara buat kali kedua

Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.

Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.

Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.

Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.

Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.

Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.

Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).

Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).

Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.

Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka.

Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.

Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.

Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.

Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.

Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.

Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.

Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu.

Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.

Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.

Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.

Koleksi tulisan Allahyarham WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

dipetik sepenuhnya dari : http://ulama-nusantara-baru.blogspot.com

Tok Bendang Daya

Tok Bendang Daya Hulubalang Fathani Darus Salam

TOK Bendang Daya ada dua orang. Tok Bendang Daya yang pertama diriwayatkan dalam artikel ini. Yang seorang lagi adalah anak beliau Syeikh Abdul Qadir al-Fathani yang diriwayatkan dalam Bahagian Agama, Utusan Malaysia, 20 Disember 2004.

Nama lengkap Tok Bendang Daya yang pertama ialah Syeikh Haji Wan Mushthafa bin Wan Muhammad bin Wan Zainal Abidin /Faqih Wan Musa bin Wan Muhammad Shalih bin Ali al-Masyhur al-Laqihi. Beliau lahir tahun 1160 H/1747 M, wafat tahun 1280 H/1863 M, di Kampung Bendang Daya, Patani.

Ayah beliau, Syeikh Wan Muhammad al-Fathani dan beberapa penyebar Islam di Patani sebelum itu adalah ulama dan pembesar kerajaan Patani.

Syeikh Haji Wan Mushthafa pernah menjadi hulubalang Sultan Fathani Darus Salam yang digelar Datuk Panglima Kaya yang juga digelar dengan nama singkat Hulubalang Wan Pa. Gelaran yang masyhur ialah Tok Bendang Daya.

Diriwayatkan beliau juga diberi hak mutlak untuk melantik sultan dan raja-raja dalam Daulah Fathani Darus Salam sebelum kerajaan itu dijajah oleh bangsa Siam. Apabila tua beliau membina Pondok Sena yang dipagari dengan pohon sena yang berjajar-jajar. Maka disebutlah kampung kawasan pondok itu dengan nama Sena Janjar dan kampung bersebelahan dengannya dinamakan Bendang Daya.

Kedua-dua kampung itu adalah dalam kawasan Kampung Sena yang besar dan luas yang dibuka atau diterokai oleh datuk nenek beliau. Tok Bendang Daya al-Fathani meninggal dunia semasa berusia kira-kira 120 tahun. Makam beliau terdapat di Kampung Bendang Daya juga dalam kawasan Kampung Sena.

Beberapa perkara penting yang dapat kita pelajari daripada kisah tokoh besar ini, sekurang-kurangnya menyentuh tentang seorang ulama yang menjadi panglima dalam sistem Daulah Fathani Darus Salam. Penglibatan beberapa ulama dalam perang melawan pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah, sistem pengajian pondok yang pertama paling ramai pelajarnya di dunia Melayu dan terakhir sekali cerita Lailatul Qadar. Semuanya tidak dapat dibicarakan dengan khusus, ada yang dapat dibicarakan di sini, ada pula terpaksa ditinggalkan atau dipotong kisahnya kerana sebab-sebab tertentu.

Perang

Dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah tercatat sekelumit kisah tentang penglibatan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dalam satu perang besar ketika pencerobohan Siam ke atas Patani dan Kedah. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, ulama ahli sufi penyusun kitab Siyar as-Salikin itu dinyatakan ghaib (hilang) atau pun syahid dalam perang itu (1244 H/1828 M). Daripada pelbagai sumber yang saya kumpulkan bahawa panglima perang Patani dalam perang itu ialah Hulubalang Wan Pa (Tok Bendang Daya). Sebuah manuskrip yang saya peroleh di Pontianak disebut pula yang ikut dalam perang itu ialah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani.

Oleh sebab laporan di antara orang yang ikut dalam perang itu ada yang hijrah ke Pontianak, maka dalam manuskrip itu tercatatlah bahawa ketiga-tiga ulama besar dunia Melayu itu syahid di bumi Patani.

Mengenai kisah yang panjang belum perlu saya bahas, yang perlu saya sentuh ialah Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disangka syahid adalah hijrah ke Pulau Duyung Kecil, Terengganu. Hijrah bukan bererti lari daripada jihad. Tetapi menyusun strategi untuk kemenangan rangka panjang. Kerana kemenangan rangka pendek belum dapat dipastikan.

Tok Bendang Daya pula mengambil sikap tidak meninggalkan bumi Patani. Hidup atau mati yang bercorak bagaimana pun mestilah di bumi Patani juga. Walau bagaimanapun taktik dan strategi perjuangan perlu disusun secara kemas dan rapi. Sekiranya belum dapat kemenangan, selagi nafas dikandung badan, selagi bulan dan matahari terbit dan terbenam, selagi dunia belum kiamat, janji untuk diri sendiri dan titipan wasiat kepada umat Melayu Patani, perjuangan mempertahankan Islam dan negara adalah wajib diteruskan.

Perjuangan kedua-dua ulama Patani itu akan diketahui sepanjang zaman, tidak akan hilang dari sejarah perkembangan tamadun bangsa Melayu dan Islam buat selama-lama. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani berjuang dari segi penulisan pelbagai ilmu dalam Islam. Termasuk juga Tarikh Patani karya Syeikh Faqih Ali al-Fathani yang diselamatkannya melalui penyalinan. Tok Bendang Daya pula, supaya beliau tidak dapat dikesan oleh musuh-musuh, telah menyamar sebagai orang bodoh, tidak tahu sesuatu apa pun.

Tok Bendang Daya faham di tempat mana beliau berada, oleh itu pada ketika yang lain beliau menjadi seorang sufi, seolah-olah seorang yang tidak perlu kepada kepentingan duniawi. Tetapi secara sangat rahsia Tok Bendang Daya memantap dan menghimpunkan kembali saki baki pejuang-pejuang Islam bangsa Melayu terutama orang-orang Kedah dan Patani yang setia kepadanya.

Riwayat ini masih belum lengkap jika tidak memberi sedikit gambaran tentang kehebatan Tok Bendang Daya semasa perang. Oleh itu amanah dari periwayat perlu juga dipindahkan ke dalam bentuk tulisan tersebar ini. Diriwayatkan bahawa Tok Bendang Daya menyertai perang pencerobohan Siam terhadap Patani yang terjadi tahun 1235 H/1820 M hinggalah perang tahun 1244 H/1828 M.

Sungguhpun umur beliau ketika itu sangat tua, namun tetap masih gagah, tangkas dan berwibawa. Selain mampu menyusun taktik pertahanan dan taktik penyerangan, Tok Bendang Daya juga ada ketahanan menghadang pelbagai jenis senjata termasuk peluru meriam yang ada pada zaman itu.

Berkali-kali beliau kena tembak dengan meriam, tetapi ada satu keanehan bahawa apa jua jenis peluru menjadi jinak dan lunak kepadanya. Peluru yang sampai kepadanya hanya melekat pada bahagian pakaiannya tidak gugur ke tanah, tidak pula menembusi hingga kepada kulit, apatah lagi masuk hingga ke daging.

Selepas pulang dari sesuatu peperangan, peluru-peluru yang melekat pada pakaian barulah dibuang dengan jalan mengibas-ngibaskan pakaian itu. (Sumber cerita dari Tuan Guru Haji Muhammad bin Yusuf, salah seorang buyut Tok Bendang Daya, juga didengar dari Tuan Guru Haji Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Ibu beliau, cucu Tok Bendang Daya sempat saya jumpa di Mekah, 1979, ketika itu berumur lebih 100 tahun namun beberapa maklumat dapat saya sahihkan kepada beliau).

Ada orang bertanya, ilmu dan amalan apa yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya sehingga berkemampuan demikian?

Agama Islam adalah sangat luas dalam pelbagai hal. Apabila kita akan menceburi diri di dalam sesuatu perkara perlulah belajar ilmu apa saja yang ada hubungan dengan perkara itu. Jika menghadapi peperangan seperti Tok Bendang Daya perlulah belajar pelbagai sektor ilmu tentang peperangan. Nabi Muhammad s.a.w ketika berperang juga menggunakan pelbagai cara termasuk dengan doa-doa tertentu.

Saya tidak pasti doa khusus yang diamalkan oleh Tok Bendang Daya untuk ketahanan diri ketika dalam perang, namun walau bagaimana pun berdasarkan catatan anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, bahawa Tok Bendang Daya mengamalkan surah al-Ikhlas, yang dibaca beribu-ribu kali serta dengan doanya.

Lailatul Qadar

Pada hari ini, 23 Ramadan 1427 H, yang mana kita ketahui, ramai orang yang berjaga malam, tertunggu-tunggu untuk mendapatkan pahala ibadat, lebih baik daripada 1,000 bulan, seperti yang disebut dalam al-Quran iaitu Lailatul Qadar. Ada beberapa orang ulama yang berasal dari dunia Melayu yang diriwayatkan berjaya bertemu malam yang penuh dengan keberkatan dan kerahmatan itu.

Di antara ulama yang bertemu dengan Lailatul Qadar itu ialah Tok Bendang Daya dan anak beliau Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya ke-II).

Riwayat Tok Bendang Daya bertemu Lailatul Qadar di perigi Bendang Daya hampir semua rakyat Patani pernah mendengarnya. Ceritanya tersebar sejak dulu hingga sekarang ini. Walau bagaimana pun semuanya adalah cerita lisan, tidak terdapat satu pun dalam bentuk tulisan. Yang berupa catatan bertulis yang saya mulakan, tahun 1970. Saya dengar, saya tanya dan saya catat dari Tuan Guru Haji Abdul Qadir bin Ismail as-Sanawi al-Fathani, cicit Tok Bendang Daya. Yang saya ketahui bahawa Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi ketika catatan saya lakukan adalah merupakan satu-satunya cicit Tok Bendang Daya yang tertua, yang teralim dan yang paling mengetahui hampir semua aspek sejarah keluarga yang dibicarakan ini.

Selama sebulan, dalam bulan Ramadan 1390 H/November 1970 saya bersama beliau telah men ziarah Makam Tok Bendang Daya. Tuan Guru Haji Abdul Qadir as-Sanawi bercerita sebagai berikut, “Pada suatu malam, dinihari, bulan Ramadan, sewaktu Tok Bendang Daya akan mengambil air wuduk untuk melakukan solat tahajud tiba-tiba perasaannya berubah, beliau tidak berada di alam nyata. Dalam perasaannya, dilihatnya semua pepohon rebah menghadap ke perigi Bendang Daya. Air perigi tiba-tiba membeku. Sedarlah beliau bahawa peristiwa tersebut kemungkinan yang dinamakan Lailatul Qadar.”

Tok Bendang Daya kemudian berdoa mohon kepada Allah pada malam yang berkat itu agar empat anak lelakinya menjadi ulama dan setiap salah seorang daripada empat orang anaknya itu ada yang jadi ulama yang bersambung terus hingga ke hari kiamat. Keempat-empat anak beliau itu ialah Syeikh Haji Wan Muhammad Zainal Abidin al-Fathani. Disingkatkan namanya menjadi Syeikh Muhammad Zain al-Fathani atau dikenal dengan sebutan Tuan Guru Wan Din al-Fathani. Anak Tok Bendang Daya yang kedua bernama Syeikh Wan Abdul Qadir al-Fathani, beliau inilah yang digelar dengan Tok Bendang Daya yang kedua. Anak Tok Bendang Daya yang ketiga bernama Syeikh Wan Abdul Lathif al-Fathani yang menyebarkan Islam di Bangkok. Dan anak Tok Bendang Daya yang keempat ialah Syeikh Wan Daud al-Fathani yang lebih dikenal dengan sebutan Tok Cik Wan Daud al-Fathani, beliau mengajar di Mekah, di rumahnya dan di Masjidil Haram, Mekah.

Kisah anak beliau, Syeikh Abdul Qadir al-Fathani (Tok Bendang Daya II), juga bertemu Lailatul Qadar di tempat yang sama, saya tinggalkan saja, namun perlu saya nyatakan bahawa apa yang dialami oleh kedua-duanya adalah berbeza. Saya belum mencatat secara terperinci berapa orang ulama dunia Melayu yang diriwayatkan pernah bertemu Lailatul Qadar, tetapi yang pasti bilangannya ramai. Antaranya ialah Syeikh Ahmad Khathib Sambas. Di dalam beberapa kitab diriwayatkan ramai ulama Islam yang terkenal seperti Imam Syafie, Abi Yazid al-Bistami dan lain-lain, juga pernah bertemu Lailatul Qadar dengan pengalaman yang berbeza-beza pula.

Oleh : Wan Mohd. Shaghir Abdullah

Panglima Badaruddin

Panglima Badaruddin merupakan salah seorang hulubalang yang turut berjuang menentang angkatan Thai di dalam perang 'musuh bisik', perang Thai dan Kedah sekitar tahun 1821~1839. Asal usul beliau tidaklah diketahui akan tetapi beliau dikhabarkan telah membuka kampung Changkat di daerah Kerian, Perak.

Pada perang 'musuh bisik' itu, angkatan Melayu menghadapi tentangan yang sangat hebat sehinggakan pasukan panglima Badaruddin terpaksa berundur dan mencari tempat persembunyian. Beliau dan pasukannya yang manaiki tongkang bermudik masuk ke pendalaman melalui jalan laut dari Kuala Kedah. Malangnya tongkang mereka tersangkut akibat air sungai yang cangkat (cetek), lalu mereka mengambil keputusan untuk berhenti di situ dan mengambil kedudukan di bukit berdekatan untuk bersembunyi. Bersempena dengan peristiwa itulah mereka menamakan tempat itu sebagai Changkat dan bukit tempat persembunyian panglima Badaruddin juga dinamakan Bukit Changkat.

Dikisahkan bahawa beliau telah membina rumahnya dengan menjadikan senjata-senjata yang dibawa sebagai dinding-dinding rumah.

dipetik dari buku Riwayat Hidup Seorang Tok Guru : Haji Zain bin Abdul Rahman

PENEMUAN 1:

Kisah kehebatan Panglima Badaruddin tidaklah begitu sangat diketahui umum, numum beliau tetap seorang hulubalang yang berjuang mempertahankan bumi Melayu ini. Menurut temubual pada 24.10.2003 dengan Hj Bahari bin Abdullah di Kampung Changkat Keledang, Panglima Badaruddin dan abangnya Hj Ahmad Aris ini pada masa dahulu banyak memiliki senjata seperti Parang Lading, Keris, Meriam, Lela dan sebagainya. Senjata-senjata ini masih disimpan oleh keturunan mereka akan tetapi habis dikambus ke dalam tanah akibat takut dengan tentera Jepun pada tahun 1941. Hj Bahari sendiri pernah melihat akan senjata-senjata tersebut sebelum ini.

Akhirkata :

"Kisah Panglima Panglima Badaruddin sudah pastinya tidak harus terhenti disini sahaja. Harap-harap satu hari nanti kita sempat bertemu dengan keturunnya dan dapatlah kita menyambung kisah panglima ini dengan lebih jelas".

Penulis yang mencatat

Haji Sulong Al-Fatani

Seorang daripada ulama di nusantara yang terbabit dalam perjuangan menegakkan Islam ialah Haji Sulong Al-Fatani. Nama sebenarnya ialah Haji Sulong bin Haji Abdul Kadir bin Muhammad bin Haji Zainal Abidin bin Ahmad Al-Fatani. Beliau yang merupakan pejuang Islam yang dianggap sesetengah pihak sebagai ’Imam Bonjol Patani’ bukan sahaja menghabiskan usianya menegakkan syiar agamanya tetapi mengakhiri hayatnya untuk perjjuangan Islam.

Peristiwa kematian Haji Sulong Al-Fatani diselebungi misteri hingga sekarang kerana selepas dipanggil menemui seorang pegawai penyiasat polis, dia terus hilang. Kehilangan Haji Sulong Al-Fatani itu menjadi tampatan hebat kepada umat Islam Patani kerana mereka bukan saja kehilangan tokoh agama tetapi juga seorang pejuang Islam.

Beliau dilahirkan pada tahun 1895 di Kampung Anka Ru, Patani, ulama ulung yang bergerak dalam perjuangan rakyat Islam di negeri itu turut dihangatkan oleh bahang tekanan pemerintahan Siam. Ketika itu, negeri Patani Darul Salam diperintah oleh Sultan Sulaiman Sharifuddin. Ketika itu, hampir semua negeri Melayu di utara menghadapi keadaan yang sama dengan Patani.

Haji Sulong menerima pelajaran asas dan al-Quran dari ayahnya sendiri sehingga pandai. Apabila sudah berusia 12 tahun, beliau berangkat ke Makkah untuk menyambung pelajaran di sana selama 17 tahun. Beliau brguru kepada para ulama dari Arab Saudi, Mesir dan yang datang dari Nusantara. Pada tahun 1924, beliau kembali ke tanah air bersama-sama isterinya yang dikahwininya semasa di Makkah. Keadaan negeri Patani Darus-Salam masih sama sama dengan ketika Haji Sulong berangkat ke Makkah dulu, iaitu berada dalam tekanan Kerajaan Siam, malah lebih teruk lagi kerana Kerajaan Pagoda itu sdah ikut campur masalah dalaman Patani dan negeri-negeri di uatara semenanjung lainnya.

Di samping itu, Siam juga berusaha memasukkan negeri-negeri jirannya di semenanjung menjadi sebahagian dari wilayahnya. Tindakan tersebut telah dibantah oleh Sultan Abdul Kadir Kamaruddin yang memerintah Patani. Sebagai akibatnya, Sultan Abdul Kadir telah dibuang negeri oleh pengausa Sia, dan haknya sebagai Sultan dilucutkan.

Dari semasa ke semasa, kerajaan Siam terus meningkatkan kebencian dan tekanannya ke ataa umat Islam di Patani. Banyak pemimpin masyarakat dan agama seperti Haji Sulong yang diawasi oleh pihak Siam. Apa yang boleh dilakukan oleh ulama ssperti Haji Sulong diperingkat permulaan adalah menyedarkan masyarakat dan generasi muda akan haknya melalui pengajaran Islam.

Haji Sulong telah mendirikan Madrasah Al-Maarif Al-Wataniah di Patani. Beliau telah memperkenalkan sukatan pelajaran dan sistem kelas di madrasah itu. Walau bagaimanpun, tiga tahun berikutnya, kerajaan Siam telah memerintahkan madrasah itu ditutup.

Haji Sulong tidak patah semangat, kerana menyiarkan agama Islam adalah wajib dan tidak terbatas di bangku sekolah yang memakai sukatan pelajaran saja. Selanjutnya beliau menukar teknik mengajar di madrasahnya. Sejak itu beliau lebih banyak membacakan kitab-kitab agama iaitu kitab-kitab ulama zaman dahulu kepada para pelajarnya. Kuliahnya yang tidak lagi berbentuk sekolah pondok sepenuh masa tetapi hanya bimbingan mingguan, Maghrib dan Isyak telah mendapat sambutan penduduk tempatan. Haji Sulong Al-Fatani sangat arif mengenai usuluddin dan tafsir. Bidang itulah yang menjadi tumpuan pengajarannya hingga meletus Perang Dunia Kedua.

Pernah dikatakan, Haji Sulong Al-Fatani pernah mengajar agama di Kemboja dan pernah diburu pemjajah Perancis kerana kegiatan itu. Bagaimanapun beliau diselamatkan oleh orang Cham di selatan Vietnam.

Apabila rampasan kuasa berlaku di Negeri Thai pada tahun 1932, corak pemerintahan beraja bertukar kepada rejim berperlembagaan. Perubahan itu benar-benar menekan masyarakat Melayu Islam di selatan Siam. Ini kerana apabila Phibul Songgram berkuasa pada tahun 1938, beliau melaksanakan dasar kebudayaan ’mensiamkan’ semua rakyat bagi matlamat kebangsaannya.

Undang-undang yang memaksa rakyat memakai pakaian cara Barat iaitu berseluar dan bertopi bagi lelaki serta bergaun dan berbaju pendek bagi wanita, termasuk orang-orang Islam di Patani. Siam juga telah mengharamkan penggunaan bahasa Melayu di pejabat-pejabat kerajaan.

Pelbagai tekanan dan ancaman itu telah menyebabkan pimpinan masyarakat Islam seperti Haji Sulong Al-Fatani menubuhkan Badan Hukum Syariah bagi melindungi hak dan kepentingan agama. Apabila meletus Perang Dunia Kedua, Phibul Songgram telah mengubah lagi dasar, iaitu tidak lagi mengamalkan dasar berkecuali. Beliau telah memihak kepada Jepun dengan membenarkan tentera asing itu melalui Negeri Thai untuk menyerang Burma dan Tanah Melayu.

Pada tahun 1944, Phibul Songgram telah memansuhkan jawatan kadi, membubarkan undang-undang keluarga Islam, memansuhkan sistem pembangunan waris cara Islam lalu menggantikannya dengan undang-undang sivil. Tindakan Siam tersebut telah melampau batas hak asasi manusia. Untuk itulah Haji Sulong dan para pemimpin Islam lainnya telah mengadakan pertemuan untuk membincangkan masalah yang semakin menekan tersebut..

Mulai tahun 1947, perjuangan masyarakat Islam Patani bertambah memuncak hingga tahun 1954. Selama tujuh tahun itu, Haji Sulong Al-Fatani terus mempertahankan agama dan bangsa sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Patani (MAIP).

Hasil pertemuan pemimpin Islam setempat di Patani, Haji Sulong Al-Fatani mengemukakan memorandum ’Tuntutan Tujuh Perkara’ kepada kerajaan Negeri Thai pada tahun 1947. Memorandum itu mengandungi permintaan untuk mengadakan:

- Seorang ketua beragama Islam bagi empat buah wilayah yang dipilih oleh anak negeri dengan diberikan kepadanya kuasa penuh.
- Mengadakan pelajaran Bahasa Melayu pada setiap sekolah bagi kanak-kanak berumur tujuh tahun sebelum mereka belajar bahasa Siam atau mata pelajaran lain dalam bahasa Siam.
- Hasil yang diperoleh dari empat wilayah itu hendaklah dibelanjakan di wialyah itu sahaja.
- 80% daripada kakitangan kerajaan mestilah terdiri daripada orang Islam.
- Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa rasmi.
- Mengasingkan Mahkamah Syariah daripada pejabat undang-undang negeri serta mengadakan undang-undang khas untuk memutuskan pendakwaan yang bersabit dengan hukum Islam.
- Mengiktiraf rakyat di empat buah wilayah itu berketurunan bangsa Melayu.

Kesan perjuangan itu, Haji Sulong Al-Fatani akhirnya ditangkap oleh pemerintah pada 16 Januari 1948 kerana dituduh ’menderhaka kepada negara’. Polis telah menemui salinan surat bukti dialamatkan kepada Tengku Mahmud Mahyiddin, iaitu pemimpin masyarakat Islam di rumah Haji Sulong Al-Fatani. Dua hari berikutnya, empat lagi rakannya telah ditangkap. Mereka ialah Wan Uthman Ahmad, Haji Wan Husain Wan Din, Ahmad (anak Haji Sulong) dan Che Ishak Abbas. Haji Sulong Al-Fatani dipenjarakan selama tiga tahun dua bulan selepas dibicarakan di Nakhon Si Thammarat (Ligor).

Sewaktu menunggu perintah hukuman di Ligor, Haji Sulong Al-Fatani menulis buku Gugusan Cahaya Keselamatan. Kemudian dimasukkan ke penjara Bang Kuang di Bangkok. Dalam penjara beliau menghasilkan empat buah kitab agama dan sebuah buku riwayat hidupnya, tetapi kesemua buku itu hilang entah ke mana.

Ekoran dari penangkapan para pejuang tersebut, rakyat di beberapa wilayah telah memberontak dan menuntut agar para pemimpinnya dibebaskan. Haji Sulong terus berada dalam tahanan dan baru dibebaskan empat tahun kemudian yakni pada 1954.

Rupanya pembebasan Haji Sulong dan pejuang lainnya hanyalah merupakan helah Siam untuk meredakan kemarahan rakyat saja. Di sebalik itu ada rancangan yang lebih jahat, tapi dengan cara halus. Ini terbukti apabila tidak sampai dua tahun kemudian Haji Sulong dan tiga lain rakannya (termasuk seorang anaknya sendiri) telah dipanggil secara terhormat untuk menjumpai ketua polis penyiasat Siam dalam suatu pertemuan tertutup.

Akan tetapi sejak pertemuan tertutup tersebut, beliau bersama rakan-rakannya tidak ada pulang lagi ke pangkuan keluarganya. Kehilangannya sangat misteri dan pihak Siam pun mendiamkan diri. Maklumat yang diterima oleh kaum keluarganya dan rakyat Patani menyebutkan bahawa Haji Sulong dan rakan-rakannya telah dibunuh secara rahsia dan jenazahnya dibuang ke Laut Senggora berhampiran Pulau Tikus pada malam Sabtu, 13 Ogos 1954. Beliau telah wafat dalam perjuangan di jalan Allah.

Pengorbanan Haji Sulong Al-Fatani iaitu penulis kitab Kashf Al-Litham tetap bersemadi dalam lipatan sejarah perjuangan umat Islam Patani.

Susunan: M.A.Uswah, Sandakan, 27 Ogos 2008.

Rujukan:
- Tokoh-Tokoh Agama Dan Kemerdekaan Di Alam Melayu susunan Tajuddin Saman, terbitan YADIM, 2005.
- Ensiklopedia Para Wali susunan Ahmad Muhammad Abdul Ghaffar, terbitan Darul Numan, 2001.


dipetik sepenuhnya dari : http://tamanulama.blogspot.com

Haji Abdur Rahman Limbong

TERLALU banyak permintaan melalui e-mel dan telefon supaya memperkenalkan ulama yang berjuang untuk memerdekakan tanah air dari cengkaman penjajah. Seiringan dengan itu pula mereka minta pengertian makna jihad menurut yang ditakrif oleh para ulama yang muktabar terutama ulama dunia Melayu.

Ini kerana, menurut mereka, setelah pengeboman Pusat Dagangan Dunia (WTC) Amerika Syarikat (AS) pada 11 September 2001, terjadi simpang siur pentafsiran makna jihad. Simpang siur pentafsiran tersebut disebabkan ada golongan yang terlalu takut tekanan dan ancaman pihak imperialisme AS dan Barat dan sebaliknya ada golongan mujahid-mujahid Islam yang radikal, sangat berani dan anti terhadap AS dan Barat.

Apa yang saya rakamkan dalam tulisan ini bukan mendabik dada supaya diakui sebagai seorang pejuang. Namun, saya hanya mengikut rentak dan peristiwa yang berlaku. Sekurang-kurangnya ada tiga isu terkini yang dijadikan iktibar perbandingan.

Yang pertama ialah laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50. Yang kedua, peristiwa Saddam Husein, bekas Presiden Iraq dihukum gantung sampai mati oleh orang-orang Islam sendiri kerana terlalu patuh kepada penjajah bentuk baru AS yang ‘menjajah’ Iraq, Afghanistan, dan lain-lain.

Yang ketiga, kejayaan musuh-musuh Islam mengadu domba antara golongan Syiah dan Sunah.

Semua isu yang tersebut dapat dijadikan perbandingan dengan perjuangan ulama dunia Melayu. Bahawa mereka berjuang untuk kemerdekaan membebaskan bangsa Melayu dari segala bentuk dan corak penjajahan masa lampau, sekarang dan masa-masa akan datang. Saya mulai dengan Haji Abdur Rahman Limbong seorang pahlawan bangsa Melayu di Terengganu.

Izinkan saya untuk turut aktif menyambut laungan memperingati kemerdekaan besar-besaran Malaysia yang ke-50 dengan memaparkan beberapa ulama yang perjuangan mereka tidak pernah takut menggunakan istilah jihad. Di antara mereka ramai yang ditangkap dan diseksa. Yang digantung ialah Tok Janggut Kelantan, persis seperti Saddam Husein digantung baru-baru ini.

Ulama pejuang dalam artikel ini nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman Limbong bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir. Lahir tahun 1285 H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu.

Haji Abdur Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, iaitu seorang sufi pengamal Tarekat Sammaniyah. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam seluk belok persoalan dunia.

Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Saya simpulkan saja bahawa Haji Abdur Rahman Limbong perlu kita kenali, dalam dunia sufi tangannya selalu bersih membilang-bilang buah tasbih.

Di mahkamah, lisannya fasih berkata-kata membela kebenaran yang disandarkan kepada perintah Allah dan rasul. Bukannya membela undang-undang ciptaan manusia. Di gelanggang medan laga pandai bermain senjata. Hidup di dunia ini tiada sesuatu apa pun yang ditakutinya kecuali kemurkaan Allah kerana melanggar perintah Allah dan rasul-Nya.

Haji Abdur Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Yang paling utama mencorak peribadinya ketika kanak-kanak ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya.

Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa. Kedua-dua ulama itu tinggal di Paya Bunga. Selanjutnya yang membentuk peribadi Haji Abdur Rahman Limbong menjadi seorang sufi dan pejuang jihad ialah Tok Ku Paloh, ulama Terengganu yang terkenal.

Tok Ku Paloh juga adalah seorang pejuang (selengkapnya lihat judul Tok Ku Paloh Al-Aidrus, Pejuang Islam dan Bangsa Melayu (18 September 2006).

Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Jika kita teliti kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu.

Antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin.

Kitab fikah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu.

Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Soal kewangan untuk mengembara tidak sukar baginya kerana di mana tempat beliau berpijak, ada saja penduduk yang mahu menjadi muridnya. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Beserah, Kuantan, kedua-duanya dalam Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain.

Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Pengembaraan beliau ke negeri-negeri tersebut mempunyai kisah yang panjang, tetapi yang dapat diungkapkan di sini ialah tentang di Sambas dan Kepulauan Riau saja. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan.

Di antara tempat-tempat yang ramai dihuni oleh orang-orang yang berasal dari Terengganu di Kepulauan Riau yang dikenalpasti ialah di Kuala Maras dalam Kepulauan Jemaja, Kepulauan Siantan dan Pulau Midai. Di Sambas pula ialah di Kampung Dungun, Kecamatan Sentebang. Nama Dungun itu diberi oleh orang-orang Terengganu sebagai mengenang negeri asal mereka, iaitu Dungun di Terengganu. Nama Dungun itu masih kekal digunakan sampai sekarang. Dipercayai di tempat-tempat tersebut pernah dijelajahi dan menerima didikan dari Haji Abdur Rahman Limbong.

Nama Haji Abdur Rahman Limbong saya dengar sejak kecil lagi dari ibu saya, Hajah Wan Zainab binti Syeikh Ahmad al-Fathani ketika beliau menceritakan pembinaan sebuah masjid di Sabang Barat, Pulau Midai, bahawa bahan utama bangunan ialah kayu cengal.

Semuanya dibawa dari Terengganu dengan sebuah perahu besar. Bahan-bahan itu semuanya selesai dikerjakan di Terengganu hanya tinggal pasang saja di Pulau Midai. Masjid itu hingga tahun 1969 masih berdiri dengan megahnya tetapi manakala yang menjadi pemimpin pada tahun tersebut seorang yang tidak memahami nilai-nilai sejarah, masjid itu dimusnahkan lalu didirikan bangunan yang baru. Nilai sejarah yang masih tinggal hanyalah sebuah mimbar yang dihiasi ukiran-ukiran. Mimbar tersebut juga berasal dari Terengganu.

Imam yang pertama masjid yang tersebut ialah Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar yang mendapat pendidikan di Mekah. Dipercayai Haji Wan Abdur Rahman bin Wan Abu Bakar berkenalan dengan Haji Abdur Rahman Limbong sejak kedua-duanya tinggal di Mekah lagi. Selanjutnya Haji Abdur Rahman Limbong juga pernah sampai di daerah Pulau Tujuh termasuk Kuala Maras dan Pulau Midai yang disebutkan di atas.

PEMBERONTAKAN

Zaman dulu dan zaman sekarang sama saja, bahawa orang yang tidak berpihak kepada kebenaran menyangka yang menang itulah yang benar. Yang kalah itulah disangkanya salah. Sejarah dunia selalu saja mencatat bahawa penyelewengan dan pengkhianat sesuatu bangsa atau pun agama apabila dalam perjuangan selalu berpihak kepada musuh. Tetapi apabila keadaan telah aman, mereka pula yang mengaku dirinya sebagai pejuang bangsa atau pun pejuang agama.

Dunia Melayu tidak terlepas dari perkara itu. Indonesia berjuang melawan Belanda, Semenanjung Tanah Melayu melawan Inggeris dan Siam, umat Islam-Melayu Patani melawan Siam dan umat Islam Mindanao melawan Filipina. Sepanjang tahun 1920 hingga tahun 1928 terjadi gerakan Haji Abdur Rahman Limbong dan rakyat tani di Hulu Terengganu menentang Inggeris.

Sungguhpun ramai orang Melayu Islam yang menyokong perjuangan beliau melawan penjajahan Inggeris, namun tidak kurang juga pengkhianat bangsa dan Islam yang terlalu yakin terhadap penjajah Inggeris. Semua bangsa penjajah yang menjajah sesuatu bangsa di mana saja di dunia ini sebenarnya adalah tidak sah.

Oleh itu, dalam zaman kita yang telah merdeka sekarang ini, perjuangan Haji Abdur Rahman Limbong dan beribu-ribu pengikutnya adalah wajar dan sah dari segi undang-undang dunia. Apatah lagi ditinjau dari pandangan Islam yang mewajibkan kita berjihad apabila kita dijajah oleh orang-orang yang bukan Islam.

Bagaimanapun sewaktu Inggeris masih sebagai bangsa penjajah di Terengganu, demikian liciknya H. W. Thomson dan J. L. Humphreys membuat laporan keadaan menjadi sebaliknya. Kononnya, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya adalah sebagai penderhaka kepada pemerintahan yang sah.

Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian (tahun 1929 M), ulama pejuang Islam dan bangsa Melayu itu meninggal dunia. Sejarah mencatat bahawa sebab-sebab timbul pemberontakan adalah kerana rakyat golongan petani berasa dirugikan oleh pihak penjajah Inggeris.

Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris.

Jika kita berfikir secara bebas dan merdeka, apa haknya bangsa Inggeris tiba-tiba mengutip cukai dalam negeri Terengganu yang sejak lama telah berkerajaan sendiri sedangkan mereka hanyalah satu bangsa pendatang.

Oleh sebab itulah, Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri. Mungkin maksud negeri itu adalah yang ada campur tangan penjajah Inggeris.

Haji Abdur Rahman Limbong menegaskan bahawa tanah yang mereka miliki adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dari riwayat ini dapat kita membuat kesimpulan bahawa orang-orang Melayu Islam di Hulu Terengganu dalam tahun 1920 lagi, di bawah bimbingan Haji Abdur Rahman Limbong, sudah kenal jati diri, kenal terhadap haknya, kenal terhadap tanah air, dan kenal terhadap bangsa sendiri.

Oleh itu, bangsa penjajah Inggeris yang cuba campur tangan dalam pentadbiran tanah wajib dilawan. Kita patut mengucapkan jutaan terima kasih kepada ulama seperti Haji Abdur Rahman Limbong yang telah membuka mata putera-putera bangsa mengenali ajaran Islam yang sebenar sekali gus bangsa Melayu Islam adalah mempunyai harga diri jangan dapat ditipu daya oleh bangsa penjajah.

Oleh: WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

dipetik sepenuhnya dari : http://khazanahnasional.wordpress.com


Kiyai Hj Salleh

Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim dilahirkan di Tanjung Olak Panchur, Bukit Pasir, Muar,Pontian, Johor. Johor pada tahun 1916. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu daripada beberapa orang guru termasuklah guru di kampung isterinya, Hajah Esah Haji Abdul Rashid, di Ara Pasung,

Antara guru-guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.

Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh atau "Kiai Salleh" atau "Panglima Salleh Selempang Merah" merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan JepunPerang Dunia II. semasa

Jasa

Kepimpinan Haji Mohd Salleh terserlah semasa kekalahan pihak Tentera Jepun di tangan pihak Tentera Berikat pada pertengahan bulan Ogos 1945. Di Semenanjung Tanah Melayu, peristiwa tersebut menimbulkan apa yang dinamakan tempoh Kekosongan Kuasa. Tempoh tersebut berlangsung selama dua minggu sehingga ketibaan Askar British yang menandakan permulaan Pentadbiran British Baru di Tanah Melayu.

Sebelum ketibaan pihak British, pihak komunis yang dikenali sebagai Askar Bintang Tiga yang sebelum itu berjuang menentang Jepun di bawah payung Malayan People Anti-Japanese Army atau MPAJA telah mengambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Mereka tidak mengenal mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah tanpa mengikuti proses undang-undang yang betul. Lazimnya mereka yang di dapati bersalah akan dikenakan hukuman mati.

Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat
Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat Batu Pahat untuk menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, di Parit Lubok, Semerah, di Kangkar Senanga, dan di Air Kuning, Bakri, Muar. Pasukan pejuang di bawah pimpinan Haji Mohd Salleh terkenal dengan gelaran tentera parang panjang dan 'Selempang Merah iaitu sejenis kain selendang berwarna merah yang dibekalkan kepada setiap orang ketika menghadapi atau berhadapan dengan musuh.

Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Haji Mohd Salleh dan pengkutnya mendakwa ramai Askar Bintang Tiga melihat beribu-ribu pejuang yang tinggi menggalah menuju ke arah mereka untuk mencabut nyawa mereka, sedangkan yang datang itu hanyalah Panglima Salleh dan pasukanya yang dianggarkan berjumlah seratus orang sahaja.
Walauapapun yang sebenarnya berlaku, yang jelas adalah Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim berjaya menyekat kegiatan Askar Bintang Tiga pada masa itu secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.

Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.

Sebagai mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955. Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959. dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjatapi untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.

Tentera Selempang Merah

Tentera Selempang Merah berasal dari Johor, Malaysia di bawah pimpinan seorang kiai yang bernama Kiai Salleh yang penuh dengan ilmu kebatinan Melayu.

Tentera Selempang Merah ini menjadi terkenal selepas kekalahan tentera Jepun. Apabila Bintang Tiga mengamuk den membunuh tokoh agama dan pemimpin kampung, Tentera Selempang Merah tampil mempertahankan masyarakat Melayu dengan menyerang komunis dan tali barut mereka.

Pergerakan ini membantu membantutkan kekejaman komunis sehinggalah kehadiran kembali Tentera British ke Tanah Melayu selepas Perang Dunia II. Sewaktu kejadian 13 Mei, pasukan ini datang dari Johor untuk membantu orang melayu di Kuala Lumpur, bagaimanapun telah ditahan oleh pihak polis sebelum sempat membantu.

dipetik sepenuhnya dari : http://wanpaiye.blogspot.com

Mat Salleh

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh 'Negeri Tambunan' sebagai daerah di bawah kekuasaannya. Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong. Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjaan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894. Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong. Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut. Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Setiap penjuru kota dikawal dan terdapat beberapa terowong atau jalan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh. Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperingati kota Mat Salleh itu. Tugu ini menandakan tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasukan Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbiran Chartered Company menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

petikan sepenuhnya dari : http://sejarahmalaysia.pnm.my

Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan "Ketua Pendehaka, iaitu Dato' Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa "Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah". Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai 'penderhaka' oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.

petikan sepenuhnya dari : http://sejarahmalaysia.pnm.my

Datuk Sagor


















Dato' Sagor ialah salah seorang daripada Orang Besar Delapan Perak.


Gelaran penuh ialah Orang Kaya-kaya Seri Agar DiRaja.

Nama sebenarnya ialah Ngah Kamdin bin Radin Lope, keturunan Bugis yang berdarjat Daeng.

Isterinya bernama Toh Lipat.

Ngah Kamdin adalah bapa saudara kepada Menteri Ngah Ibrahim.

Dilahirkan di Kampong Gajah dan berhijrah ke Larut untuk mengusahakan perlombongan bijih timah bersama Ngah Ibrahim.

Beliau dikurnia gelaran Dato' Sagor oleh Sultan Jaafar (Sultan Perak ke-23).

Mengikut Perlembagaan Perak, Dato' Sagor memerintah wilayah tebing Sungai Perak dari Kampong Gajah ke Pulau Tiga.

Kuasanya ialah mengawal hal ehwal istana, pembinaan istana dan kapal-kapal yang dinaiki oleh Sultan.

Dato' Sagor tergolong dalam kelima-lima hulubalang Negeri Perak termasuk Seri Adika Raja, Panglima Kinta, Panglima Bukit Gantang dan Dato' Maharaja Lela (R.J. Wilkinson, "Papers on Malay Subjects").

Menandatangani Perjanjian Pangkor bersama-sama dengan Sultan, Pembesar-Pembesar Perak dan British di atas kapal HMS Pluto pada tahun 10 Januari 1874.

Mesyuarat di Durian Sebatang pada 28 Oktober 1875 mencapai keputusan bahawa JWW Birch, Residen British Perak yang pertama akan dibunuh apabila tiba di Pasir Salak.

Dato' Sagor menolak arahan membersihkan jalan ke Bukit Tunggal, Kampong Gajah untuk mengibarkan bendera British di puncak bukit itu dan membina balai.

Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela mengetuai misi membunuh JWW Birch yang mandi di Sungai Perak berdekatan Pasir Salak pada tahun 1875.

Dato' Sagor dihukum dan digantung sampai mati bersama Dato' Maharaja Lela dan Pandak Endut di Matang pada 20 Januari 1877.

petikan sepenuhnya dari : http://www.amir-hamidi.name.my

Dol Said

Dol Said @ Abdul Said lahir dalam tahun 1773, dari suku Semelenggang dan menjadi Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak serta dilantik sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang ke-sembilan yang membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British. Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan yang telah mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan. Peperangan Naning, yang berlaku pada tahn 1834 telah menjadikan Dol Said seorang wira yang berani yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka.

Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

petikan sepenuhnya dari : http://sejarahmalaysia.pnm.my

Datuk Maharaja Lela

Dato' Maharaja Lela Pandak Lam adalah salah seorang pembesar delapan Perak. Pandak Lam adalah keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Daeng Salili datang ke Perak ketika pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III. Beliau dilantik sebgaai mufti Perak dan dianugerahkan gelaran Datuk Maharaja Lela Tan Lela dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Beliau terlibat dalam perjuangan menentang British di Perak dan merupakan pemimpin yang mengetuai perjuangan tersebut. Beliau bersama-sama dengan pemimpin lain seperti Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja (lebih dikenali sebagai Datuk Sagor) dan Ngah Kandin telah merancang dan membuat pakatan menentang penglibatan British di Perak dengan membunug Residen British iaitu James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch).

Dalam perjuangan ini beliau mendapat restu daripada Sultan Abdullah dan Sultan Ismail serta mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Pasir Salak dan Kampung Gajah. Penglibatan Dato’ Maharaja Lela sebagai tokoh utama dalam pembunuhan J.W.W Birch adalah melaksanakan keputusan mesyuarat Durian Sebatang pada 21 Julai 1875 yang dipengerusikan oleh Sultan Abdullah dan dihadiri oleh pembesar atau wakilnya. Namun, perjuangan beliau didapati bersalah oleh mahkamah yang bersidang dari 14-22 Disember 1876. Beliau telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 20 Januari 1877. Disini dapat disimpulkan bahawa Dato’ Maharaja Lela adalah pejuang bangsa yang bertanggungjawab kepada sumpah dan janjinya tetapi dikecewakan oleh raja dan bangsanya sendiri.

Petikan sepenuhnya dari : http://sejarahmalaysia.pnm.my