Lagu Perang Musuh Bisik


"Bumi yang kita pijak ini adalah tanah tumpah darah kita... telah sentiasa kekal sebagai Tanah Air yang tercinta... Ada pun mereka-mereka itu telah mengorbankan diri demi mempertahankannya agar anak cucu Bani Jawi terus kekal di sini... Moga-moga kita adalah waris sebenar mereka-mereka itu... para Hulubalang Bani Jawi"
NOTA : Hasrat blog dihasilkan bertujuan untuk mencari maklumat mengenai para hulubalang Melayu dan dihimpunkan di satu halaman supaya mudah dirujuk oleh anak bangsa. Halaman ini dibina sejak pada tahun 2009. Terima kasih pada mereka yang tidak jemu-jemu menulis mengenai para Hulubalang Bani Jawi yang turut dipetik dan dikongsikan di sini.

Tunku Muhammad Saad

Tunku Muhammad Saad merupakan Panglima Perang Negeri Kedah dalam peperangan Musuh Bisik pada gelombang di tahun 1838. Kisah ini kami petik dari tulisan Almarhum Datuk Ismail Salleh untuk tatapan para pembaca.


PERTEMPURAN DI PULAU BIDAN


Dalam bulan Julai 1838 bersamaan bulan Muharram 1244 Tunku Muhammad Saad telah melancarkan angkatan perangnya dari Kuala Merbuk untuk mara ke Terang dan mengusir Siam dari bumi Kedah buat selama-lamanya dari utara hingga ke selatan.


Tunku Muhamad, anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin dan pernah menjadi tawanan Siam di Legor. Cuping telinganya masih berkerutut seperti kulit limau purut kesan dicucuk dengan rotan sega.


Tunku Muhamad Saad dibantu oleh Tunku Muhamad Akib, seorang lagi anak saudara Sultan Ahmad Tajuddin telah merancangkan segala-galanya dengan penuh teliti. Mereka telah berjaya mengumpulkan orang-orang Melayu yang berdiri tegap dibelakang perjuangan ini dan telah melantik Tunku Abdullah, putera sulung Sultan Ahmad Tajuddin menjadi kepala jemaah panglima-panglima perang.

Satu angkatan laut yang berdisiplin diwujudkan di bawah Aamirul Bahr atau laksamananya iaitu Datuk Muhamad Ali bin Datuk Kerma Jaya dari Langkawi. Beliau diberi gelaran sebagai Datuk Setia Segera.


Datuk Muhamad Ali telah diutus oleh Tunku Muhamad Saad ke Batu Bara di Acheh untuk beberapa lama bagi melengkapkan sebuah angkatan laut yang besar dengan beratus-ratus buah perahu besar dan perahu panjang.


Di bawah kelolaan Datuk Muhamad Ali Setia Segera diletakkan dua buah ketumbuk yang dipanggil “Sayap Kanan” dan “Sayap Kiri”. “Sayap Kanan” diketuai oleh Nakhoda Lanang Pati. Bahagian belakang yang dipanggil “Ketumbuk Ekor” mengandungi perahu yang besar sekali terdiri dari pelbagai jenis perahu dan kenaikan air orang Melayu dikawal oleh Datuk Muhamad Ali sendiri. Datuk Muhamad Ali dibantu oleh Panglima Muhamad Taib Hitam menyusun angkatan perang yang akan bertindak dari belakang. 


Angkatan laut Tunku Muhamad Saad bermalam di Pulau Empat Beradik iaitu di Pulau Telor, Pulau Songsong, Pulau Bidan dan Pulau Bunting. Sedang mereka nyenyak tidur, angkatan yang berteduh di Pulau Songsong dan Pulau Bunting telah diserang oleh sebuah angkatan laut kecil dari pihak Siam.


Seorang panglima yang perkasa berasal dari Selibis bernama Panglima Yu mengepalai angkatan Siam itu telah bertemu dengan Datuk Muhamad Ali Setia Segara di Pantai Pulau Songsong dan mereka telah beradu kekuatan dan kesaktian masing-masing dengan menggunakan tipu muslihat ilmu peperangan, ilmu sihir dan sebagainya.


Seorang lagi hulubalang Siam bernama Panglima Barim, seorang Melayu asalnya bernama Ibrahim yang gagah berani tetapi tersasul menyebelahi pihak Siam. Panglima Barim amat handal melontar lembing batang pendek dari perahunya tepat menemui sasaran iaitu di tengah-tengah belakang perwira-perwira Melayu yang berada 50 ela darinya.


Ramai pejuang-pejuang Melayu yang sedang berehat pada malam itu telah menemui ajal di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting. Kejadian ini berlaku tidak jauh dari kampung halaman yang mereka tinggalkan di Penaga dan di Kerian. 


Dalam pertarungan sengit di antara Panglima Yu dengan Datuk Muhamad Ali, senjata-senjata yang terdapat di badan habis digunakan oleh mereka berdua sehingga akhirnya Panglima Yu terpaksa menggunakan kayu-kayu kapal sahaja untuk memukul Datuk Muhamad Ali. Datuk Muhamad Ali tergelincir dan jatuh ke dalam air tetapi cepat-cepat ia naik semula ke dalam perahunya dan mencapai sebatang lembing panjang lalu menikam paha Panglima Yu. Lembing sesat di tangan Datuk Muhamad Ali itu telah menembusi daging lembut di paha Panglima Yu. Panglima Yu dengan cepat meminta anak buahnya melarikan diri naik ke tanah besar di Kuala Sala. 


Angkatan Tunku Muhamad Saad turut mengejar tetapi tidak sempat hendak menangkap Panglima Yu kerana Panglima itu mengarahkan orang-orangnya berkayuh habis-habisan di malam yang kelam itu. Menurut cerita, angkatannya telah sampai di Bukit Pinang. Apabila hari telah siang, angkatan Tunku Muhamad Saad mengepung Bukit Pinang dan berjaya menangkap Panglima Yu serta orang-orangnya, kemudian membawa balik mereka ke Pulau Songsong ke Tunku Muhamad Saad.


Panglima Barim terbunuh lebih awal lagi dari Panglima Yu dan kubur mereka berdua masih ada di Pinggang Pulau Songsong, disusun bersama-sama dengan perajurit-perajurit lain yang menjadi mangsa mereka kerana semuanya Islam.


SIAM TEWAS, KEDAH MARA KE SENGGORA


Dari pengalaman di Pulau Songsong dan di Pulau Bunting, Tunku Muhamad Saad telah mengkaji semula kedudukan angkatan perangnya. Akhirnya Tunku Muhamad Saad mendapat persetujuan dari Datuk Muhamad Ali Datuk Setia Segera, Panglima Muhamad Taib Hitam dan lain-lain panglima kanan supaya angkatan perang kali ini dibahagi kepada empat pasukan.


Detik dan ketika melancarkan serangan ditetapkan oleh pahlawan yang tua-tua. Serangan tersebut kebetulan sama dengan Temasya Tambun di Bangkok semasa Maharaja Siam membakar jasad seorang Maharaninya. Pada masa ini semua gabenor-gabenor wilayah dan pegawai-pegawai tinggi Kerajaan berkumpul di Bangkok menghormati Maharani yang akan di hantar ke akhirat. ketika itulah Tunku Muhamad Saad sampai di Haad Yai dan Datuk Muhamad Ali sampai di Puket.


Angkatan perang Kedah menuju ke Utara dari tiga hala serentak dan telah berjaya melumpuhkan pertahanan Siam di mana-mana mereka pergi. Negeri Petani telah jatuh ke tangan orang-orang Melayu semula. Terang dan Pulau Phuket telah diduduki oleh Datuk Muhamad Ali dan beliau mara ke Timur membantu Tunku Muhamad Saad yang telah menawan Haad Yai dan sedang bergerak ke Utara menduduki Senggora dan Boyang.


Kuala Kedah dengan senangnya diambil oleh kumpulan keempat dan perjuangan yang agak serius hanya berlaku di Alor Ganu selama beberapa ketika. Phya Buri Seknutun yang bertahan di Alor Ganu telah berundur ke Petalung dengan beberapa orang tenteranya. Negeri Kedah telah bebas semula dan Kota Kuala Kedah telah diduduki oleh orang-orang Melayu. Penghulu Kota dilantik dengan serta merta iaitu Syed Hussein.


Angkatan perang yang berjalan kaki ini mendarat di Kuala Perlis dan Kuala Sanglang kemudian menuju ke Bukit Kayu Hitam dan terus ke Haad Yai. Dari sini mereka mara hingga ke Senggora dan Petani. Angkatan laut Melayu yang dikumpulkan oleh Tunku Muhamad Saad belum ada bandingannya di dalam sejarah Nusantara dan Datuk Muhamad Ali ialah seorang Laksamana yang teragung belum pernah diriwayatkan orang sepenuhnya.


SIAM MENEWASKAN TUNKU MUHAMAD SAAD


Pada masa Tunku Muhamad Saad menyerang Siam di Kedah dan membebaskan negeri itu dari cengkaman mereka, Gabenor Legor dan Gabenor Senggora berada di Bangkok menghadiri upacara pembakaran jasad Bonda Rani ibu kepada Maharaja Rama III. Apabila mereka diberitahu orang-orang Melayu telah menduduki semula negeri Kedah dan negeri-negeri Melayu di Selatan telah turut dibebaskan, mereka memohon bantuan dari Bangkok dan dari wilayah mereka sendiri seperti Legor, Senggora, Petalong dan juga dari Kelantan dan Petani.


Gabenor Legor menghantar utusannya menemui Inggeris di Singapura dan dua-dua pihak telah bersetuju akan saling bantu-membantu. Inggeris bersetuju mengepung Kedah dari laut pada bulan Disember ketika angin ribut Timur Laut bertiup. Pada bulan tersebut, Siam akan menyerang dari darat dengan 80,000 orang tenteranya.


Angkatan Tunku Muhamad Saad yang sedang menduduki Senggora di serang dari belakang oleh satu angkatan tentera Legor yang lebih besar. Orang-orang Melayu yang ditawan kononnya diikat kemudian dilecek oleh gajah hingga menjadi “sambal”. 


Sekurang-kurangnya kita mengetahui Panglima Busu dan Raja Usoh dari Setol selamat sampai di Selatan Kedah dan membuka kampung halaman di sana. Lebih kurang tiga bulan lamanya mereka menderita dan mengalami pelbagai kesedihan di dalam perjalanan. Tangisan kanak-kanak yang menyusu di dada ibunya yang terbaring tidak bernyawa, ibu dan ayah meratapi anak yang terpaksa dikuburkan di dalam hutan dan si isteri meratapkan suami yang telah terbujur menjadi mayat.


Pemimpin-pemimpin Melayu di Senggora berundur ke Kota Bharu dan akhir-akhirnya telah berjaya melepaskan diri ke Seberang Perai. Perjuangan dari tahap ini telah lumpuh dan mereka mengharapkan angkatan lain dari Setol, Perlis dan Langkawi menyelamatkan Negeri Kedah.


Angkatan Legor telah mara ke selatan melalui Padang Besar dan Padang Kecil terus masuk ke kawasan Perlis, dan Kedah setelah menduduki Trang dan Setol. Di Padang Kecil yang sekarang dikenali sebagai Haad Yai, satu pertempuran besar telah berlaku dan mengakibatkan ramai tentera Melayu dan tentera Siam menjadi korban. Di antara yang syahid di sini ialah Shaikh Samad Palembang.


PERJUANGAN AKHIR MEMPERTAHANKAN KOTA KUALA KEDAH


Kisah perjuangan Tunku Muhamad Saad mempertahankan Kota Kuala Kedah dalam bulan Mac 1839 merupakan perjuangan orang-orang Kedah yang paling akhir menentang Siam secara besar-besaran. 


Pada 17 Mac, orang-orang Melayu bertahan dari atas kota-kota tanah di sebelah matahari naik dan kaki tidur Kota tetapi tepaksa berundur ke dalam Kota pula kerana menjadi sasaran yang senang kepada tentera-tentera Legor yang berselindung di sebalik hutan api-api dan pokok-pokok jeruju di situ. Kota batu mempunyai meriam-meriam yang handal dan itulah sahaja yang masih menjadi harapan.


Tunku Muhamad Saad mengambil tindakan memilih 200 orang laki-laki mempertahankan Kota bersama dengan 15 orang Sepahi upahan dan meminta yang lainnya dengan wanita dan kanak-kanak turun ke perahu dan belayar berpandukan Bintang Pari menuju ke Pulau Pinang. Kumpulan inilah yang terakhir sekali meninggalkan Kuala Kedah ke Pulau Pinang dengan jalan laut dalam episod peperangan Kedah dengan Siam selama ini.


Selepas azan Subuh 13 Mac, Siam menyerang semula. Orang-orang Siam tidak dapat menembusi tembok kota kerana meriam mereka kecil. Sebelum tengahari orang-orang Melayu dapat mengusir angkatan Siam yang jauh lebih besar itu dan membawa kasualti yang jauh lebih banyak dari yang dialami oleh orang-orang dalam Kota.


Pada hari yang ketiga angkatan Siam menyerang lagi! Kampung-kampung di sekitar kota dibakar rentung dan bau asap serta bedil menggantikan bau-bau bunga macang dan bunga keriang lada yang memecah dalam bulan Mac ini. Bedil membedil tidak reda sehingga ke larut malam. 


Seorang Panglima Melayu bernama Tuk Menara diarah oleh Tunku Muhamad Saad membakar tunam di meriam “Katak Puru” yang terletak dirusuk pintu besar menghadapi matahari naik. Enam orang lain diarah membantu Tuk Menara menuangkan penggalak. Meriam-meriam lain dikawal oleh Sepahi-sepahi dan panglima-panglima lain. 


Beberapa buah kapal perang Inggeris menghujankan peluru meriam ke arah Kota Kuala Kedah kerana membantu Siam menawan kota itu. Peluru-peluru meriam inilah yang menyebabkan orang Melayu berduyun-duyun berundur keluar dari Kuala Kedah. Sebuah kapal perang Inggeris menaikkan bendera Siam di kapalnya membedil orang-orang Melayu yang sedang berundur. Kebanyakan yang menjadi korban ialah wanita dan kanak-kanak. Inggeris memusnahkan perahu-perahu orang Melayu dan membunuh orang-orang yang tidak berdosa kepada mereka kerana hendak menggembirakan hati Siam.


Tuk Menara bertujuh terus membedil tentera Siam sebagai memberi peluang Tunku Muhamad Saad melepaskan diri. Akhirnya mereka turut meninggalkan “Katak Puru” dan terjun ke dalam sungai menyeberang ke Seberang Nyonya di tebing sebelah sana. Sepahi-sepahi Rajput menembak tidak berhenti-henti selama dua jam lagi sebelum mereka sendiri terjun ke air menurut jejak Tuk Menara. Jasad 15 sepahi dijumpai tersadai di batang-batang nibung yang dipacak oleh kapal “Hyacinth” menggalang pintu kuala kerana mereka tidak pandai berenang.


Tunku Muhamad Saad memerintah Kota Kuala Kedah selama tiga puluh tiga Jumaat, satu Raya Puasa, satu Raya Haji dan menyambut Hijrah 1255 di dalam rimba.


TUNKU MUHAMAD SAAD DI BUANG BOMBAI

Tunku Muhammad Saad sekarang menjadi orang buruan, dan apabila Inggeris mengisytiharkan terang-terangan bahawa Tunku Muhammad Saad itu seorang lanun, bukan pejuang merebut kebebasan tanahair, maka bertambah ramai pula orang yang ingin berbudi membantu Inggeris memburu “Tunku Muhammad Saad Lanun”.


Selepas meninggalkan Kota Kuala Kedah, Tunku Muhammad Saad dengan orang-orangnya beredar ke Langkawi meninjau kemungkinan membuat serangan balas. Inggeris bertindak menghantar kapal-kapal perangnya memantau perairan Langkawi dan memburu gerombolan Tunku Muhammad Saad. Tentera Laut Inggeris telah menembak hancur tempat-tempat perteduhan orang-orang Tunku Muhammad Saad dan Tunku Muhammad Saad terpaksa meninggalkan Pulau Langkawi di tengah malam menuju ke negeri Perak. 


Inggeris mengetahui Tunku Muhammad Saad berada di Perak lalu menghubungi Sultan Perak supaya mengusir Tunku Muhammad Saad keluar dari wilayah pemerintahannya. Pada awal bulan Julai 1840, Tunku Muhammad Saad dengan rakan-rakannya Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Senawi dengan dua tiga puluh orang pengikutnya diarahkan oleh Sultan Perak supaya meninggalkan wilayah Perak kerana baginda tidak mahu bermusuhan dengan Inggeris atau dengan Siam.


Tunku Muhammad Saad berangkat meninggalkan Perak dan seelok-elok angkatan Tunku Muhamad Saad di Kuala Sungai Perak, kapal-kapal perang Inggeris yang lengkap dengan meriam dan senapang sedang menanti. Tetapi pemerintah angkatan perang Inggeris yang datang dari Pulau Pinang itu bersumpah di atas nama Kerajaan British bahawa Tunku Muhammad Saad akan dilindungi dan diselamatkan dari ancaman sebarang musuh dan Tunku Muhammad Saad di anggap sebagai sahabat kepada Kerajaan British.


Seelok-elok mereka sampai di Pulau Pinang, Tunku Muhammad Saad disambut supaya mendarat dan diiringi oleh beberapa seldadu menjemputnya terus ke Pejabat Pelabuhan. Di pejabat itu beliau diberkas, digari dan terus disembunyi ke dalam sebuah bilik gelap di Kota Konwalis. Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Senawi dan pengikut-pengikut dikurung berasingan.


Perbicaraan diadakan pada 26 Oktober 1840 iaitu selepas 116 hari Tunku Muhammad Saad dan pengikut-pengikutnya ditahan dalam kurungan. Satu kes rompakan di laut telah diketengahkan sebagai bukti Tunku Muhammad Saad dan rakan-rakannya ialah lanun. Inggeris berjaya membawa saksi-saksi dan sebagainya ke Mahkamah pada hari itu dan Tunku Muhammad Saad dengan pengikut-pengikutnya yang hadir di Mahkamah pada hari itu dituduh bersalah. Kononnya Tunku Muhammad Saad dengan rakan-rakannya telah merampas sebuah perahu Melayu bernilai 150 ringgit di Laut Kedah.


Pada 2 November iaitu selepas seminggu perbicaraan dilangsungkan, Hakim Besar Pulau Pinang menjatuhkan hukumannya iaitu menahankan Tunku Muhammad Saad sebagai seorang tawanan perang di sebuah tempat tahanan yang berasingan dari penjenayah. Pengikut-pengikut Tunku Muhammad Saad seperti Tunku Muhammad Taib dan Tunku Muhammad Senawi dan lain-lain dibebaskan.


Tunku Muhammad Saad ditahan di Kota Konwalis beberapa hari sebelum dibawa ke India menjalani hukuman yang dipanggil oleh orang-orang Melayu sebagai “Buang Bombai”. Di India Tunku Muhammad Saad tidak dibawa ke Bombay tetapi dikurung di sebuah tempat tahanan di Kalkatta. Untuk merahsiakan tempat tahanannya, dia dipindahkan pula ke Mursyidabad. Selepas tiga tahun iaitu pada bulan November, 1843, Tunku Muhammad Saad dibebaskan pulang ke tanahairnya. Dia pulang ke kampungnya di Bagan Tiang, Seberang Perai, Pulau Pinang.


Akhirkata :

1. Kisah ini dipetik dari beberapa karangan oleh sejarahwan Negeri Kedah, Almarhum Datuk Ismail Salleh. Beliau banyak membantu dalam kajian pihak kami mencari kisah peperangan Musuh Bisik. Almarhum sempat menyerahkan karya peneulisan beliau dalam kisah perang musuh bisik kepada pihak kami agar diteruskan pencarian kisah yang sebenar berlaku di bumi Kedah dan mencari wira-wira bangsa yang seharusnya ditokohkan.


2. Terdapat kajian khusus salasilah keturunan Tunku Muhammad Saad ini oleh seorang sahabat penulis iaitu Mahadhir Mat Lazim. Pembaca boleh rujuk di link :

http://tunkuabdullah.blogspot.com/2018/09/konvensyen-penulisan-jawi-dan-rumi.html

Penulis yang mencatat






1 comment: